PETALING JAYA – Jodoh skuad bawah 23 (B-23) negara bersama Vietnam terbukti ‘kuat’ selepas diundi bersama dalam Kumpulan D saingan Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April depan.
Pada sesi undian yang berlangsung di Doha sebentar tadi, skuad muda Harimau Malaya turut diundi bersama finalis edisi 2022, Uzbekistan selaku pasukan pilihan dan negara Asia Barat, Kuwait.
Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini turut diundi bersama Vietnam pada saingan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan yang menyaksikan pasukan kebangsaan menduduki tangga tercorot Kumpulan C.
Saingan Piala Asia B-23 2024 dijadualkan berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei 2024 dengan pertandingan dijadualkan berlangsung di beberapa venue utama saingan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Skuad B-23 negara yang dibimbing oleh pengendali import dari Sepanyol, Juan Torres Garrido baru selesai menjalani kem latihan pusat di Kuala Lumpur minggu lalu.
Sementara itu, Qatar , Australia, Jordan dan Indonesia telah diletakkan dalam Kumpulan A manakala Jepun, Korea Selatan, UAE dan China berada dalam Kumpulan B.
Melengkapkan 16 negara yang bertanding, Arab Saudi, Iraq, Thailand dan Tajikistan bakal bersaing dalam Kumpulan C. – KOSMO! ONLINE