fbpx

Tigress hilang ‘taring’ tanpa bintang utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANIS (tengah) terlepas aksi Kelayakan Olimpik pada Januari ini selepas menjalani pembedahan lutut ekoran kecederaan ACL dialaminya baru-baru ini.

SKUAD hoki wanita kebangsaan terpaksa menelan hakikat perit apabila bakal menghadapi aksi Kelayakan Olimpik di Valencia, Sepanyol bermula 13 hingga 20 Januari 2024 tanpa khidmat penggempur berbisanya, Hanis Nadiah Onn.

Hanis yang akan genap usia 27 tahun pada 5 Disember ini, baru sahaja menjalani pembedahan lutut kanan di Pusat Perubatan Sunway baru-baru ini disebabkan masalah kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 itu mengalami masalah tersebut ketika beraksi pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Ranchi, India awal bulan ini yang menyaksikan Malaysian Tigress meraih tempat kelima.

Ketua jurulatih skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim mengakui, ia satu kehilangan besar memandangkan Hanis ialah salah seorang tonggak senior pasukan untuk berdepan jaguh-jaguh dunia di Valencia nanti.

“Hanis perlu mengambil masa untuk menjalani proses pemulihan dan peluang ini harus diambil sepenuhnya pemain-pemain lain seperti Shamine Azureen (Mohammed Badusha) dan Azmyra Mia Sofea (Azhairy).

“Kita tidak panik kerana memang kita anggap aksi Kelayakan Olimpik ini sebagai satu platform pendedahan yang terbaik buat barisan pemain. Jangan lupa fokus utama pasukan ini adalah Sukan Asia 2026 (di Aichi-Nagoya, Jepun).

“Kita juga akan kembali diperkuatkan dengan kepula­ngan Nuramirah (Syakirah Zulkif­li) yang terlepas ACT sebelum ini kerana kecederaan. Saya jangkakan dia sempat pulih sepenuh­nya sebelum Januari ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ini adalah kali kedua Hanis mengalami kecederaan ACL selepas pernah terjadi kepada lutut kirinya yang menyaksikan pemain dari Johor itu terpaksa diketepikan selama sembilan bulan sebelum pulih sepenuhnya awal tahun lalu.

Sebagai rekod, Malaysian Tigress, No.18 dunia, akan berdepan Great Britain (No.7), Sepanyol (No.8) dan Kanada (No.16) dalam saingan Kumpulan B untuk me­rebut tiket akhir ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI