NILAI – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebulat suara memilih jaguh basikal wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir untuk mewakili Malaysia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Lebuh Raya PKBM, Norazman Abu Samah berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas bersama Majlis Sukan Negara (MSN), PKBM serta wakil-wakil negeri setelah menilai bahawa pelumba berusia 26 tahun dari Terengganu itu memiliki prestasi konsisten.
Tambah Norazman, Aisyah mempunyai rekod cemerlang apabila meraih dua pingat perak dalam acara lebuh raya individu dan berpasukan serta satu gangsa dalam acara kriterium pada Mei lalu, selain turut berpengalaman beraksi di Sukan Asia, Hangzhou September lalu.
“Kami sebulat suara memilih Nur Aisyah berdasar prestasi semasanya. Saya juga mengikut sepanjang perlumbaan pada 2016, 2017 dan menariknya Aisyah adalah pelumba yang konsisten pada setiap kejohanan.
“Insya-Allah, saya rasa dengan persembahan Aisyah dia tidak akan mengecewakan kita. Saya berharap dengan bimbingan jurulatih berpengalaman seperti Amir Mustafa Rusli kita mampu mendapat keputusan terbaik.
“Amir juga atlet negara yang beraksi pada Sukan Olimpik London 2012 dan dengan sentuhan Amir, kita harap Aisyah dapat menghabiskan perlumbaan Olimpik Paris 2024 serta sekurang-kurangnya dapat melakukan keajaiban,” kata Norazman yang turut mempertimbangkan tiga lagi nama selain Aisyah iaitu Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, Phi Kun Pan dan Yeong Zhen Yi.
Malaysia layak secara merit ke Olimpik Paris atas tiket negara menerusi slot benua Asia selepas menghabiskan perlumbaan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas dalam kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.
Sementara itu, Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berharap sokongan penuh dapat diberikan kepada Aisyah untuk membuat persiapan menghadapi temasya berkenaan
“Olimpik 2024 hanya berbaki lapan bulan, jadi PKBM telah menulis surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk sokongan tambahan kepada Nur Aisyah agar dapat melakukan persiapan terbaik.
“Kita tahu untuk menyertai kejohanan antarabangsa memerlukan kos tinggi dan sebab itu kita mohon untuk dapat sokongan daripada KBS,” katanya.