fbpx

Pertaruh Cinderella, Wandted sedia berperang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANDTED enggan disamakan dengan mana-mana grup wanita dan bersedia untuk melakar nama dalam industri seni selepas dua tahun mengikuti kem latihan.

ENGGAN dibayangi sesiapa, Wandted yang dibarisi enam gadis enggan disamakan dengan mana-mana grup wanita hanya kerana menelusuri jalur muzik M-Pop.

Mengakui ada pihak meninggalkan komen mendakwa imej mereka seakan-akan kumpulan Dolla, artis baharu yang mempertaruhkan single debut berjudul Cinderella itu menyifatkan perkara berkenaan hanya tanggapan awal.

Bagi anggotanya yang juga model dan pelakon iaitu Aela, persamaan dari segi imej tidak boleh disangkal memandangkan gaya seksi gadis berusia 20-an selain genre diperjuangkan adalah serupa.

Aela berkata, biarpun pada awalnya ada yang skeptikal terhadap kemampuan mereka, selepas menyaksikan persembahan di beberapa acara, pandangan tersebut terhakis serta- merta.

“Kami melalui tapisan ketat sebelum diserap sebagai tunjang Wandted sekitar 2020 termasuk menyertai kem latihan di bawah bimbingan tenaga pengajar profesional.

“Walaupun mempunyai asas vokal serta tarian dan kemudian digabungkan dalam Wandted yang memperjuangkan muzik M-Pop, itu tidak cukup.

“Ini kerana, berada dalam bidang ini umpama berjuang di medan perang. Kita perlu bersedia dari segi strategi, latihan serta ‘senjata’ lengkap.

“Disebabkan itu, syarikat pengurusan mewajibkan kami memasuki kem latihan selama dua tahun meliputi pemantapan vokal, tarian, komunikasi, penjagaan imej serta aspek utama lain.

“Apabila single Cinderella ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh dilancarkan bermakna Wandted sudah bersedia menyahut cabaran menembusi arena muzik,” katanya.

Selain Aela, kumpulan yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Echovibes Communications dan Civicas Networks itu turut ditunjangi Bell, Rae, Ann, Rika serta Deanna.

Menurut gadis berdarah campuran Melayu-Cina itu, kehadiran mereka bukan untuk menyaingi sesiapa mahu pun kumpulan sedia ada sebaliknya menawarkan pilihan kepada pendengar.

“Cita rasa peminat muzik berbeza, jadi kenapa tidak kita berikan pilihan apatah lagi menawarkan genre M-Pop yang berpaksikan alur irama kegilaan generasi masa kini dari Korea Selatan.

“Negara itu melahirkan banyak kumpulan K-Pop popular hingga mampu menembusi pasaran antarabangsa, kami yakin genre ini juga mampu berkembang.

“Melihat pencapaian bintang K-Pop, Wandted tidak gentar menyahut cabaran melalui sesi latihan selama dua tahun yang memberikan impak tersendiri,” ulasnya lagi.

WANDTED yakin single sulung mereka, Cinderella mampu memenuhi cita rasa pendengar khususnya pencinta genre M-Pop.

Bercerita lanjut mengenai Cinderella yang dilancarkan 3 November lalu, Deanna berkongsi rasa teruja dengan respons pemerhati muzik.

Rata-rata memberikan maklum balas positif terhadap lagu serta video muzik yang menonjolkan kekuatan dalaman serta pemerkasaan wanita seperti dalam lirik.

Cinderella istimewa apabila mempunyai kekuatan alunan instrumen yang menggambarkan konsep fairytale bertepatan dengan tajuknya.

“Secara tidak langsung, kami mengangkat tema pemerkasaan wanita, manakala irama serta seni kata catchy menyuntik semangat jitu,” kongsinya.

Bagi seorang lagi tunjang Wandted, Rika, peluang serta kepercayaan diberikan syarikat tidak mungkin disia-siakan.

“Istimewanya Wandted adalah gabungan enam anggota yang agak jarang dilihat kerana kebiasaannya kumpulan seperti ini antara empat dan lima orang saja.

“Ini semua cetusan idea syarikat pengurusan yang menaruh keyakinan tinggi terhadap formula the more, the merrier (lagi ramai, lagi meriah) terutama membabitkan kumpulan wanita berpaksikan nyanyian dan tarian.

“Dari segi keserasian pula, sememangnya pertama kali dipertemukan kami sudah sekepala kerana hampir sebaya, selain ‘gila’ menari, jadi semuanya bagai dipermudahkan,” luahnya.

Video muzik ­­Cinderella edaran One Stop Music (OSM) Berhad boleh diikuti menerusi penstriman digital di semua platform bermula 7 November lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI