PENERBIT Scream VII, Spyglass menggugurkan nama aktres Melissa Barrera daripada membintangi filem itu atas dakwaan anti-semitisme atau membuat hasutan berbaur kebencian susulan mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin secara terbuka.
Jurucakap Spyglass berkata, mereka tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit mencetuskan sebarang bentuk kebencian.
“Pendirian Spyglass sangat jelas bahawa kami tidak akan bertolak-ansur terhadap anti-semitisme yang menyebarkan prasangka buruk.
“Ini termasuk rujukan palsu pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik, Holocaust atau apa-apa sahaja yang secara terang-terangan berupa ucapan kebencian,” kata kenyataan media terbabit.
Sebelum ini, aktres asal Mexico yang sememangnya lantang mengutuk kekejaman Zionis itu menyifatkan konflik di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai.
“Gaza kini dilayan seperti kem tahanan. Penduduk dikumpul bersama-sama tanpa arah tujuan, tiada bekalan elektrik, tiada air.
“Mereka ini tidak belajar apa-apa daripada sejarah dan sama seperti sejarah kita, orang (dunia) sekeliling masih diam memerhatikan semua ini berlaku.
“Ini adalah pembunuhan dan pembersihan etnik,” luahnya menerusi Instagram.
Bersandarkan pengumuman Spyglass pada Ogos lalu, barisan pelakon yang bakal membintangi sekuel filem pecah panggung itu termasuk Jenna Ortega, Mason Gooding dan Neve Campbell.
Begitupun, belum sempat penggambaran dimulakan, Ortega terpaksa menolak tawaran filem yang dijadualkan menemui khalayak tahun depan disebabkan pertembungan jadual.
Sementara itu, Barerra dalam perkongsian dalam Instagram Story menegaskan sikap berdiam diri melihat situasi berdarah yang berlaku di Palestin bukan pilihannya.
“Diam bukan pilihan saya. Pertamanya, saya kutuk anti semitisme dan Islamophobia, bantah segala bentuk kebencian terhadap masyarakat.
“Sebagai orang Latin dan berbangga sebagai rakyat Mexico, saya bertanggungjawab menggunakan platform media sosial untuk menyalurkan pandangan supaya suara saya didengar.
“Semua orang tidak kira agama, bangsa, gender, orientasi seksual dan status ekonomi berhak mendapat layanan kemanusiaan, maruah serta kebebasan.
“Saya berdoa siang malam agar tiada lagi kematian, keganasan dan wujudnya perdamaian. Saya akan terus bercakap demi hak asasi manusia, keharmonian dan kebebasan sejagat,” katanya. – KOSMO! ONLINE