BERBICARA tentang kemiskinan, ia merupakan satu keadaan di mana seseorang itu tidak mempunyai harta benda atau pendapatan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup.
Malaysia sendiri juga tidak terlepas daripada belenggu masalah kemiskinan dan berdasarkan statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih), sejumlah 118,217 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di seluruh negara.
Ini disahkan daripada rekod pendaftaran di dalam sistem eKasih dan golongan ini diklasifikasikan sebagai golongan miskin dan miskin tegar.
Dalam menangani masalah ini, pihak kerajaan telah mengambil pelbagai usaha dalam menoktahkan kemiskinan tegar dengan
memperkenalkan pelbagai program bantuan.
Namun begitu, tidak semua sanggup berubah dan mengambil peluang itu untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
Malah, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan, kira-kira 25 hingga 30 peratus golongan miskin tegar menolak tawaran menyertai program basmi kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, mereka ini lebih berminat untuk terus menerima bantuan tunai termasuk melalui sistem e-Kasih dan kurang berminat untuk menyertai program menjana pendapatan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya, Dr. Samsul Farid Samsuddin berkata, untuk berhijrah daripada kondisi sebuah keluarga yang berstatus miskin tegar ini kepada status yang lebih stabil diakui bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, dengan pelbagai pilihan kerjaya yang ada pada masa kini dan pelbagai usaha serta langkah intervensi daripada pihak kerajaan, ianya tidaklah mustahil.
“Dengan harapan, masyarakat lebih bersedia dan dilengkapi dengan sokongan asas yang kuat seterusnya dapat keluar daripada zon miskin tegar dan menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.
“Walaubagaimanapun, setiap inisiatif yang disediakan oleh kerajaan ini adalah merupakan peluang, ianya tetap bergantung kepada pilihan dalam membuat keputusan,” katanya.
Tambahnya, pilihan kerjaya yang lebih baik ke arah kerjaya berpendapatan tinggi juga merupakan satu pilihan.
Perbezaan motivasi diri yang kuat dalam keinginan untuk mencapai atau mendapatkan sesuatu yang boleh mengeluarkan golongan ini dari status miskin tegar, menjadi faktor ukuran kejayaan transformasi sesebuah komuniti.
Tetapi, Samsul Farid menjelaskan, sekiranya mereka berasa selesa dengan gaya hidup semasa, iaitu dengan terus bergantung hidup kepada subsidi kerajaan dan ihsan sumbangan daripada masyarakat, kitaran hidup miskin tegar ini akan berterusan diwarisi dari generasi ke generasi.
“Semuanya perlu bermula dari rumah, di mana peranan dan tanggungjawab ibu bapa perlu dimainkan dengan baik dan betul.
“Pentingnya kesedaran terhadap asas pendidikan awal di peringkat sekolah seperti kemahiran membaca, menulis dan mengira, kemahiran literasi maklumat dalam aspek kewangan juga penting kepada setiap individu kerana ia boleh membantu seseorang dalam membuat penilaian seterusnya membuat keputusan dengan lebih baik,” jelasnya.
Selain itu, kemahiran bekerja seperti asas pengendalian komputer, dan kemahiran teknikal berkaitan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan menjamin kebolehpasaran dalam mendapatkan pekerjaan bagi generasi muda dalam keluarga miskin tegar.
Tidak lupa, aspek modal insan juga menjadi harapan untuk diterapkan kepada golongan ini pada peringkat awal lagi.
Ia boleh membentuk peribadi individu yang berperibadi tinggi dan menjadi faktor dorongan untuk mengubah masa depan mereka sendiri ke tahap yang lebih baik.