fbpx

Audit Negara: Kerajaan ‘hilang’ RM681.71 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak RM681.71 juta kehilangan atau kerugian wang awam melibatkan enam program kerajaan didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, dapatan itu diperoleh menerusi 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion dilaksanakan di 14 kementerian melalui LKAN 2022.

Menurutnya, kerugian tersebut membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ia turut membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan dan pengurusan program bandar selamat.

“Perkara ini antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum.

“Selain itu, ia juga melibatkan kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya,” katanya semalam.

Dalam pada itu, daripada 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian, ia merangkumi 13 program antaranya RM189.290 bilion adalah program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan, pengurusan program penanaman padi (RM6.820 bilion).

Pengurusan kawalan penyakit denggi membabitkan RM5.230 bilion; pengurusan program skim pembangunan kesejahteraan rakyat (RM2.215 bilion); pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah (RM1.026 bilion) dan pengurusan pembangunan hartanah Lada (RM822.61 juta).

Wan Suraya berkata, terdapat tiga kes pembaziran bernilai RM21.35 juta antaranya membabitkan Pengurusan Pekerja Asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Katanya, jumlah pembaziran itu juga membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.

Beliau berkata, kes yang dibangkitkan antaranya berkaitan sistem yang tidak digunakan secara optimum yang mana 11 daripada 14 modul sistem ePPAx tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing.

“Projek pangkalan hadapan yang siap pada tahun 2020 tidak dapat digunakan dan peralatan kelengkapan latihan (ACMV Industrial) tidak digunakan sejak diterima pada tahun 2018,” katanya.

Sementara itu, Wan Suraya berkata, terdapat juga dua kes pembayaran tidak teratur bernilai RM1.52 juta melibatkan pengurusan program podium sukan elit dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.

Beliau berkata, perkara yang berbangkit adalah berkaitan perbelanjaan di luar skop kelulusan dan tajaan program dibuat kepada peserta yang tidak memenuhi syarat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI