PETALING JAYA – Beberapa lokaliti di Tuaran, Sabah dan Kulim, Kedah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa selama 14 hari bermula 27 November sehingga 10 Disember depan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai jangkitan kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.
“Sehingga 22 November lalu, KKM telah melaksanakan sebanyak 2,609 saringan di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah dan daripada jumlah itu, 253 kes positif Covid-19 telah direkodkan manakala terdapat 581 sampel saringan masih lagi menunggu keputusan.
“Pelaksanaan PKPD di Taman Telipok Ria ini akan melibatkan kawasan seluas 229,459 meter persegi, 3,400 unit rumah dan 18,000 orang penduduk,” katanya pada satu sidang akhbar hari ini.
Menurut Ismail, PKPD turut dilaksanakan di beberapa buah taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah dalam tempoh waktu yang sama.
“Sebanyak 197 ujian saringan secara bersasar telah dilaksanakan oleh KKM di lokaliti tersebut yang merekodkan sebanyak 50 kes positif dan pelaksanaan PKPD di kawasan ini akan melibatkan sebanyak 1,412 buah rumah dengan anggaran jumlah seramai 6,000 orang penduduk.
“Antara kawasan yang akan terlibat dengan PKPD di Mukim Sungai Seluang adalah Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi serta Taman Seri Limau,” ujar beliau.
Jelas Ismail, berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di beberapa kawasan yang telah dikenalpasti bermula 27 November sehingga 10 Disember depan.
“Sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa, saringan secara bersasar kepada penduduk yang terlibat akan dilaksanakan oleh KKM dan orang ramai dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” jelas beliau.
Dalam perkembangan berlainan, Ismail turut mengumumkan tentang penamatan PKPD di beberapa lokaliti di daerah Kudat, Sabah bermula 30 Oktober lalu susulan situasi Covid-19 yang menunjukkan penurunan.
“Penamatan PKPD itu melibatkan tiga buah lokaliti iaitu Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang,” ujarnya. -K! ONLINE