PETALING JAYA – Satu pasukan khas telah diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove yang mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di seluruh negara.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas tersebut dianggotai oleh Majlis Keselamatan Negara (Selangor), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,
Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.
“Secara keseluruhan, kilang ini (Top Glove) mempunyai seramai 11,215 pekerja dan setakat semalam 5,795 ujian saringan telah dilakukan dan 2,684 kes positif di kawasan PKPD telah
direkodkan.
“Setakat semalam juga, sebanyak 20 buah kilang telah pun ditutup manakala 7 buah lagi ditutup hari ini dan sebuah lagi akan menyusul,” katanya pada satu sidang akhbar hari ini.
Jelas beliau, bagi mengelakkan penularan di kawasan komuniti, pihak kilang juga telah diarahkan untuk menjalankan saringan terhadap 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan PKPD dan akan turut diarahkan untuk menjalani kuarantin.
“Kesemua pekerja yang telah disaring dan didapati positif telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala yang negatif telah dikuarantin di hotel-hotel yang ditetapkan seperti Hotel Gold Coast, Klang Sentral dan Stadium Pandamaran.
“Semalam, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu sebanyak 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 merupakan kes positif Covid-19 daripada kluster yang melibatkan kilang Top Glove,” jelas beliau.
Sementara itu, Ismail turut mengumumkan tentang pelan tindakan dan mekanisme bagi pelaksanaan ujian saringan ke atas semua pekerja warga asing seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Kerajaan sebelum ini telah memutuskan agar semua pekerja warga asing di negara ini perlu menjalani ujian saringan ‘swab test’ dan hari ini Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah membentangkan pelan tindakan pelaksanaannya.
“Untuk permulaan, ujian saringan ini akan difokuskan kepada pekerja asing di Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah melibatkan seramai 888,342 orang pekerja,” ujarnya. -K! ONLINE