KUCHING – Ancaman bom yang dihantar melalui emel ke atas dua buah sekolah di sini adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, ia setelah pemeriksaan yang dijalankan ke atas dua sekolah terbabit tidak mengesan sebarang bukti kewujudan risiko bom.
“Tindakan pembersihan keselamatan bom telah dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua lokasi yang terlibat, namun tiada sebarang ancaman bom dikesan,” katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak polis dengan kerjasama pengurusan sekolah dan bomba telah mengambil langkah-langkah keselamatan serta memaksimumkan litupan keselamatan di sekolah terbabit termasuk sekolah-sekolah lain.
Terdahulu, Ahsmon mengesahkan pihaknya menerima dua laporan berhubung ancaman bom melalui emel yang dihantar ke emel rasmi melibatkan sebuah sekolah antarabangsa dan sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini.
Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penerimaan emel itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dengan kerjasama sekolah-sekolah terbabit segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis demi keselamatan pelajar.
Justeru, Ahsmon mengingatkan mana-mana individu agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam. – KOSMO! ONLINE