fbpx

K2

Bolehkah pakaian berlubang dibawa solat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lubang yang terlalu kecil pada pakaian di bahagian aurat tidak akan membatalkan solat. – Gambar hiasan

Sekiranya saya memakai pakaian yang berlubang sebesar 2 milimeter atau 0.2 sentimeter (cm), bolehkah untuk menunaikan solat?

JAWAPAN: Menutup aurat adalah syarat sah bagi solat. Jika seseorang bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat, maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula.

Aurat bagi lelaki adalah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita, seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafii. Mereka berdalilkan hadis Nabi SAW riwayat Aisyah R.Anha:

Allah SWT tidak menerima solat orang perempuan yang mengalami haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).

Hadis riwayat Abu Daud (641), Ibn. Majah (655), dan Al-Tirmidzi (377).

Al-Tirmidzi berkata, “Hadis Aisyah adalah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.”

Al-Nawawi berkata, “Yang dimaksudkan sebagai ‘haid’ itu adalah wanita yang sudah baligh.” Dan ini juga merupakan syarat sah bagi kaum lelaki. Rujuk al-Majmu’ (3/166-167).

Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat adalah seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “Wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifat warna kulit.” Syeikh Zainuddin al-Malibari berkata: “Penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan.” Rujuk Fath al-Mu’in (1/86)

Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan lagi oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai: “Keadaan jika seseorang memerhatikan orang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (yakni tidak dianggap terbuka aurat).” Rujuk I’anah al-Talibin (1/134)

Maksud bagi keterangan di atas adalah syarat sah menutup aurat, memadai jika salah seorang daripada dua orang yang sedang bercakap melihat kepada teman dan dia tidak nampak warna kulit pada bahagian aurat temannya itu.

Justeru, kami berpendapat bahawa kadar 0.2cm itu masih dianggap sangat kecil sehingga kalau terdapat pada baju orang bersolat, yakni pada bahagian aurat, tidaklah membatalkan solat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI