PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menerusi hantaran di Facebook beliau menyenaraikan 10 sebab mengapa umat Islam perlu dihalang daripada menghadiri konsert Coldplay yang berlangsung malam ini.
Katanya, jika umat Islam terus memilih untuk berhibur cara barat maka ia mengundang berlakunya keburukan ke atas kaum tersebut.
“Bala atau keburukan tidak akan datang segera dan kepada umat tertentu sahaja, tapi ia akan memberi kesan jangka masa panjang dan buruk kepada seluruh umat Islam walaupun yang tidak terlibat dengan konsert.
“Konsert Coldplay jelas bercanggah dengan syariat Islam kerana menawarkan hiburan melampau dan percampuran lelaki perempuan yang tidak terkawal,” katanya.
Ustazah Asma’ berkata, teguran yang dibuat beliau juga bertujuan menyuntik sifat keperimanusiaan dalam kalangan umat Islam agar menghormati penderitaan yang sedang dialami saudara di Palestin.
“Keluarga kita di sana (Palestin) sedang menderita, dibantai beramai-ramai dan bergelumang dengan darah, sanggupkah kita menyanyi, menari jatuhkan maruah.
“Dalam isu ini walau kita tiada kuasa untuk sekat, untuk kali yang terakhir kita boleh usaha sekat umat Islam dari pergi,” tegasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 75,000 penonton bakal memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan persembahan band ikonik asal United Kingdom yang dibarisi Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.
Di Malaysia, tiket konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour berharga antara RM228 ke RM3,088 yang dijual pada 17 Mei lalu ‘licin’ disambar peminat tegar mereka hanya dalam tempoh tiga jam. – KOSMO! ONLINE