Saya nak tanya sikit pasal pemasangan tirai penghadang yang memisahkan di antara jemaah lelaki dan perempuan di surau. Adakah ia dibolehkan? Sekiranya dibolehkan, apakah syarat-syarat tirai itu sendiri bagi membolehkan penyambungan ‘qudwah’ (sambung jemaah) antara jemaah lelaki dan perempuan?
Jawapan: Solat berjemaah merupakan ibadah yang dilaksanakan secara berkelompok bersama-sama dengan seorang imam. Bagi memastikan ibadah yang dilakukan itu sah, maka terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Antara syarat sah solat berjemaah ialah imam dan makmum mesti berada pada satu tempat yang sama tanpa terdapat sebarang pengasingan. Jika antara imam dan makmum terdapat penghadang yang memisahkan tempat kedua-duanya, maka tidak sah qudwah (ikutan) makmum tersebut. Hukum ini berdasarkan hadis Aishah r. anha yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam bab makmum solat di luar masjid mengikut imam di dalam masjid sedangkan ada pemisah antara kedua mereka:
“Beberapa orang wanita solat bersama Aisyah, isteri Nabi SAW dalam biliknya, kemudian Aisyah berkata: Janganlah kamu solat mengikut imam. Ini kerana sesungguhnya kalian tidak dapat mengikutinya disebabkan penghalang.”
Jika solat berjemaah dilaksanakan dalam bangunan masjid, hanya disyaratkan tiada penghalang laluan untuk pergi kepada imam atau kepada makmum yang mengikut imam, serta makmum dapat sampai kepada imamnya dengan cara berjalan yang biasa, sekalipun dengan membelakangkan kiblat. Begitu juga, qudwah masih sah sekiranya bersolat di dalam masjid yang bertingkat dan wujud tangga yang menjadi laluan untuk pergi atau sampai kepada imam, sekiranya ia berada di bahagian belakang dalam ruangan masjid sekalipun.
Dalam pada itu, sekiranya ada makmum yang mahu bersolat di dalam bilik yang berada dalam bangunan masjid tersebut, maka hendaklah dipastikan pintu bilik itu tidak dipaku. Namun begitu tidak mengapa jika sekadar pintu itu ditutup atau dikunci.
Di bawah ini dinyatakan beberapa syarat sah qudwah sekiranya imam berada dalam masjid dan makmum pula berada di luar masjid atau sebaliknya, atau solat jemaah itu didirikan di dalam surau, bangunan atau di kawasan padang.
a. Disyaratkan jarak antara imam dan makmum serta antara dua saf, atau antara dua orang yang berdiri di belakang imam atau di kanan atau kiri imam tidak lebih daripada tiga ratus (300) hasta (150 meter). Namun begitu, kiraan jarak itu pula dikira bermula dari kaki lima masjid pada kes imam berada dalam masjid dan makmum pula berada di luar masjid atau sebaliknya.
b. Tiada penghalang yang menghalang pandangan makmum kepada imam atau kepada makmum saf terakhir di belakang imam yang tahu gerakan solat imam.
Dalam kes ini, para makmum yang berada di bilik lain serta terhalang pandangan mereka kepada imam atau jemaah yang solat mengikut imam oleh dinding atau dihalang dengan tirai tebal yang dilabuhkan, maka perlulah dibuka pintu bilik tersebut dan diselak tirainya sedikit, serta hendaklah ada pula seorang makmum yang berdiri berbetulan pintu atau tirai itu sebagai mubaliq (bertindak sebagai penghubung antara jemaah dalam bilik atau di sebalik tirai dengan imam atau saf makmum yang terakhir).
Ia perlu dilakukan supaya makmum itu dapat melihat pergerakan imam atau melihat sebahagian makmum yang berada di bangunan imam. Makmum yang berdiri berbetulan pintu atau tirai itu bagaikan pembantu imam yang bertujuan untuk memberi kemudahan kepada para makmum yang berada bersamanya agar mereka mengetahui pergerakan imam yang terlindung itu. Namun, tidak mengapa dan masih sah qudwah sekiranya pintu atau tirai yang diselak itu tertutup sendiri disebabkan angin ketika solat sedang dilaksanakan. Ini bertepatan dengan maksud kaedah fikah:
“Diampunkan pada pertengahan, sesuatu yang tidak diampunkan pada permulaan”
c. Tiada penghalang laluan untuk pergi kepada imam atau kepada makmum yang mengikut imam dan dapat sampai kepada imamnya dengan cara berjalan yang biasa, tanpa membelakangkan kiblat tetapi memadai jika berjalan ke arah kanan atau kiri tanpa membelakangkan kiblat. [Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 296-297, Raudhah al-Talibin jld.1, hlm. 464-468, Mughni al-Muhtaj jld.1, hlm. 248-250]
Pada pendapat mazhab Syafie, bahawa tirai yang dilabuhkan itu termasuk dalam erti kata penghalang pandangan dan menjejaskan syarat sah qudwah. Ini diperjelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam karya beliau Fath al-Jawwad dan dinaqalkan pandangan itu muridnya sendiri, Syeikh Zainuddin Ahmad Bin Abdul Aziz al-Malibari, beliau berkata:
“Sekiranya sesuatu menghalang jalan seperti tingkap, atau pandangan seperti pintu yang tertutup, sekalipun tidak berkunci, kerana ia menghalang pandangan, sekalipun tidak menghalang laluan, sepertinya juga tirai yang dilabuh atau tidak ada seseorang berdiri di muka pintu maka tidak sah ikutan pada dua kes di atas.” (Lihat Hashiah Ia’nah al-Talibin ala Fath al-Muin jld.1, hlm.28-29)
Namun ada khilaf di kalangan ulama mazhab Syafie pada isu kedapatan hanya pada satu halangan, pada laluan atau pandangan sahaja, berkata al-Imam al-Nawawi:”sekiranya pintu itu tertutup dan tidak dikunci, maka ia menghalang penglihatan dan bukannya penghalang laluan, atau ada tingkap maka ia menjadi penghalang laluan tidak pula menghalang pandangan, dalam kedua-dua isu ini ada dua pandangan, dan pendapat yang Asah di sisi kebanyakan ulama ia dikira sebagai penghalang sah qudwah, dan yang Asah pada pandangan al-qadhi Abu Taib ia bukanlah sebagai penghalang”. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, jld.4, hlm.308)
Isu kain tabir yang menjadi pemisah di antara imam dan makmum turut juga dibincangkan oleh ulama Nusantara. Di antara ulama yang mengulas isu ini ialah Syeikh Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa al-Fatani dalam karya beliau yang bernama al-Fatawa al-Fataniah. Beliau memberikan fatwa berkenaan soalan adakah sah mengikut imam yang bersolat di dalam kelambu dan makmum di luarnya ketika solat di luar masjid, kata beliau;
“(Dan bahawasanya) jikalau adalah salah seorang daripada keduanya atau adalah keduanya di luar masjid nescaya tiada sah mengikut pada hal tiada diangkatkan barang yang dihulur turun daripada pihak belakang imam atau pada hal tiada dibukakan pintunya yang pada belakang imam. Jika ada baginya pintu kerana menegahnya akan nama berhimpun dan menegah akan melihat (dan) difahamkan daripada taklil ini bahawasanya tabir yang diberikan akan hukum pintu yang dikatupkan itu tabir yang tebal yang menegahkan melihat, maka jika ialah tabir atau kelambu itu jarang keduanya dengan sekira kira tiada menegah keduanya akan melihat maka sayugia bahawa dijazamkan dengan sah mengikut kerana tiada menegah keduanya akan lalu yang diadatkan dan tiada menegah keduanya akan melihat, maka tiada menegah keduanya akan nama berhimpun di dalam satu tempat, wallahua’lam”. (Lihat al-Fatawa al-Fataniah hlm. 51]
Berpandukan penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa kain tabir yang dilabuhkan itu tidak termasuk di dalam pemisah sekiranya ia nipis dan makmum boleh melihat imam atau makmum yang solat di bahagian imam.
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, dapat disimpulkan bahawa;Hukum pemasangan tirai penghadang di surau dengan tujuan memisahkan di antara jemaah lelaki dan wanita adalah harus.
Jika jenis kain tirai yang digunakan itu tebal dan boleh menghalang pandangan makmum kepada imam atau makmum yang berada di belakang imam, maka tirai itu wajib dibuka sedikit sekadar laluan agar ia tidak menjejaskan kesahihan solat makmum di belakangnya.
Namun sekiranya kain tirai itu jarang, adalah sebaiknya ia juga dibuka sedikit sekadar ruang untuk laluan. Ini adalah untuk meraikan khilaf ulama yang berpendapat tidak sah juga qudwah pada kes tersebut.
Tirai itu wajib dibuka setiap kali waktu solat berjemaah didirikan dan boleh ditutup atau dilabuhkan semula selepas itu.