AYAM kukus, bawang karamel, terung goreng, kentang goreng dan beras bersama stok ayam berempah menjadikan hidangan maqluba yang dihidangkan lembut serta sebati.
Untuk melengkapkan lagi rasa hidangan tradisional Palestin itu, ia turut disertakan dengan salad dan yogurt segar.
Maqluba dengan resipi asli dari Gaza itu boleh didapati di Marookha Cafe yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Menurut pemilik kafe, Zara Ahmad Riza, 36, hidangan maqluba di Marookha Care mengikut resipi ibu mentua yang berasal dari Palestin.
Ujarnya lagi, saiz hidangan maqluba di kafe tersebut lebih kecil berbanding biasa bagi membolehkan hidangan itu dijamah secara individu.
“Kebiasaannya, hidangan maqluba dimasak dalam kuantiti besar yang boleh dimakan oleh lebih 10 orang.
“Namun, kami menghidangkannya dalam saiz nasi kukus bagi membolehkan juadah ini dinikmati oleh setiap individu,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.
Untuk pengetahuan, Marookha Cafe yang diusahakan oleh Zara bersama suaminya, Ahmad Hallalo, 39, merupakan sebuah kafe dilengkapi gim dan salon khas buat wanita serta kanak-kanak.
Konsep itu dibuat sesuai dengan budaya di Asia Barat yang memiliki ruangan khas buat golongan wanita bersantai tanpa kehadiran kaum lelaki.
Bagaimanapun, juadah di kafe miliknya masih boleh dinikmati oleh kaum lelaki menerusi pesanan di dalam aplikasi GrabFood.
Selain maqluba, hidangan Palestin lain yang turut mendapat tempat dalam kalangan pengunjung kafe berkenaan adalah set ‘mama Marookha breakfast’.
Dalam set tersebut, terdapat tiga celupan iaitu hummus (kacang kuda), muhammara (lada merah panggang dan walnut) dan mutabbal (bijan dan terung).
Set itu turut dihidangkan bersama batata wa bayd (telur, kentang dan sayur dill), salad, sosej, roti pita biasa serta manakeesh (roti pita keju dan zaatar).
Tambah Zara, ‘mama Marookha breakfast’ boleh dipesan sepanjang hari biarpun hidangan tersebut dikategorikan sebagai sarapan.
“Rasa roti pita buatan tangan kami yang lembut membuatkannya terkenal dalam kalangan kanak-kanak yang memanggilnya sebagai piza.
“Hidangan roti ini sempurna kerana ia tidak terlalu berat dan ringan bagi mereka yang mahu makan secara santai,” ujarnya.
Selain itu, kafe berkenaan menawarkan arayes kambing (roti pita dengan daging berempah), falafel (campuran kekacang, herba segar dan rempah ratus), fattoush salad (sayur, roti arab goreng dan pati delima) serta kibbeh (bebola daging).
Menurut wanita dari Kuala Lumpur itu, hidangan Palestin di kafenya tidak memiliki pengaruh negara Arab lain, biarpun memiliki persamaan dalam beberapa aspek berdasarkan perkongsian budaya serantau.
Ujar Zara, suaminya sangat menitikberatkan keaslian makanan tradisional mereka agar dapat terus dikekalkan, biarpun sudah lama meninggalkan bumi Palestin.
Justeru, Zara bercadang untuk menambah lagi juadah autentik Palestin di kafenya dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi membolehkan masyarakat di negara ini merasai keenakan juadah asli berasal dari Palestin.