LONDON – Tonggak Arsenal, Declan Rice mengakui, masih belum berada pada tahap seratus peratus selain agak tertekan dengan ‘tanda harga’ £105 juta (RM614 juta) sejak berhijrah daripada West Ham pada jendela perpindahan Julai lepas.
Sebagai rekod, khidmat Rice sebelum ini diburu oleh Manchester City dan Arsenal tetapi skuad kendalian Mikel Arteta itu berjaya mengatasi bidaan sekali gus memecahkan rekod pembelian pemain termahal The Gunners.
Kehadiran Rice dilihat kembali memantapkan Arsenal dalam usaha mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membuat 12 penampilan dalam kesebelasan utama musim ini.
“Saya akui pada awalnya agak tertekan kerana sedar jumlah modal yang dikeluarkan Arsenal untuk mendapatkan khidmat saya agak tinggi. Bukan mudah apabila transaksi bernilai lebih £105 juta dikeluarkan mana-mana pihak terutama melibatkan manusia.
“Mungkin mereka rasa bakat saya berbaloi dengan harga tersebut dan saya cuba untuk beraksi sebaik mungkin setiap kali diturunkan. Namun, harus diakui saya agak bergelut terutama pada bulan pertama selepas berhijrah,” katanya.
Mengulas lanjut, Rice mengakui situasi yang dialaminya hampir sama ketika pemain sayap England, Jack Grealish mengambil keputusan untuk berhijrah ke City daripada Aston Villa dua tahun lalu dengan nilai tinggi berjumlah £100 juta (RM584 juta).
“Apa yang saya alami sama dengan situasi Grealish dan anda boleh lihat kenapa dia bergelut pada musim pertama bersama City apabila jarang mendapat minit permainan. Namun, kini dia sudah kembali membalas kepercayaan yang diberi oleh barisan kejurulatihan,” katanya. – AGENSI