fbpx

Belang Harimau Malaya makin gah terserlah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Harimau Malaya meraikan jaringan Darren ketika Malaysia menewaskan Taiwan 1-0 pada aksi di Stadium Perbandaran Taipei kelmarin. – FLASH SUKAN

IMPIAN skuad Harimau Malaya untuk beraksi pada pusingan kelayakan terakhir Piala Dunia 2026 semakin cerah selepas meraih enam mata maksimum susulan membenam Taiwan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei kelmarin.

Pada aksi kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu, skuad negara terpaksa bermandi peluh sebelum mengutip tiga mata hasil jaringan tunggal penyerang gantian, Darren Lok.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, barisan pemain telah menjalankan tugas dengan sempurna untuk melakar dua kemenangan berturut-turut, sekali gus menghampiri sasaran 12 mata yang ditetapkan.

“Saya tidak mahu mengulas tentang keadaan padang kerana kedua-dua pasukan bermain di atas padang sama.

“Perkara ini boleh berlaku di mana-mana negara dan ini sesuatu yang kami perlu belajar tetapi permainan ini menjadi sukar bukan kerana padang tetapi pasukan lawan bertahan dengan baik.

“Apa yang penting, kita berjaya raih kemenangan dan kini berjaya dapat enam mata. Namun, kita hanya akan selamat (untuk layak) andai mendapat 12 mata.

“Kemenangan ini adalah hadiah kepada rakyat Malaysia kerana kita berjaya menang buat kali pertama di Taiwan dan harap dapat kekalkan prestasi untuk dapatkan enam lagi mata yang akan memastikan kita akan ke pusingan ketiga,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, pengendali import itu turut memuji mentaliti serta semangat juang tinggi pasukan yang enggan angkat bendera putih terlalu awal dalam usaha memburu kemenangan.

“Kehendak pemain untuk menang adalah punca utama dan bukannya pertukaran taktikal yang saya lakukan.

“Saya dapat lihat keinginan sejak separuh masa pertama tetapi kurang bernasib baik kerana tidak berjaya menjaringkan gol lebih awal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI