PETALING JAYA – Pelakon, Reen Rahim menggelabah apabila ruangan dapur rumahnya ‘dilawati’ seekor monyet ketika dia sedang syok live di Instagramnya, semalam.
Terkejut dengan kehadiran tetamu tanpa diundang itu, Reen terus menyorok di sebelah tingkap luar rumah sambil memerhati monyet menikmati telur ayam di atas peti sejuk.
“Allahuakbar monyet, aku takut monyet macam mana ni dia makan telur.
“Rileks Reen Rahim. Eh kau macam tu je. Keluarlah!,” jerit Reen selepas monyet itu menepis penyapu yang ditala ke arahnya.
Tidak cukup hanya makan telur ayam, monyet itu sempat menggeledah kabinet dapur Reen sebelum meninggalkan ruangan itu dengan keadaan bersepah.
“Berani korang masuk rumah aku, kurang ajar!.
“Apa? Dia ambik makanan ikan. Mana suami kita,” bebel Reen sejurus monyet itu beredar dari dapur.
Para netizen yang tercuit hati menonton ulang siar live itu juga sempat meninggalkan komen di Instagram Reen.
“Reen, kau dalam masalah pun tetap menghiburkan,” komen puterimasyi.
“Kalau saya dah berlari keluar rumah, bukan monyet yang lari tapi tuan yang lari dulu,” kata zarin.
“Mak akak cakap bagi dia (monyet) makan belacan. Dia tak suka nanti dia mengamuk terbalikkan semua barang kat luar,” tulis saidah. -KOSMO! ONLINE