BESUT – Seorang wanita terpaksa meredah banjir dalam keadaan paha kanan berbungkus dengan plastik setelah rumahnya dinaiki air di Kampung Kayu Kelat 8, Kuala Besut di sini hari ini.
Suhada Rani, 47, berkata, dia terpaksa membalut paha kanannya bagi melindungi luka pembedahan yang masih belum sembuh.
“Saya bimbang luka pembedahan membuang bisul pada bulan lalu yang masih belum sembuh sepenuhnya terkena air.
“Bimbang juga luka melarat dan terkena jangkitan kuman memandangkan saya pesakit diabetes,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut di sini hari ini.
Suhada memberitahu, dia terpaksa meredah banjir pada paras pinggang dari rumahnya untuk menuju ke PPS.
Wanita itu memberitahu, dia sepatutnya mempunyai janji temu rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan kelmarin.
“Begitupun janji temu itu terpaksa ditangguhkan kerana laluan utama ditenggelami air. Saya hubungi pihak hospital minta tunda (tarikh janji temu). Tidak lama selepas itu rumah saya pula dinaiki air,” katanya. – KOSMO! ONLINE