KUALA LUMPUR – Ahli parlimen pembangkang hari ini mencadangkan agar Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, langkah itu wajar diambil terutama sekali selepas berlakunya skandal membabitkan kepemimpinan tertinggi J-KOM baru-baru ini.
“Kita lihat J-KOM dari segi peranannya ada kegagalan yang berlaku, antaranya dakwaan salah laku yang kita kenali sebagai skandal A&W (Agus dan Wahab),” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Wan Saiful juga mempersoalkan mengapa sehingga kini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak menyentuh mengenai skandal dalaman membabitkan dua kakitangan J-KOM itu, sedangkan ia satu daripada jabatan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Hingga kini Perdana Menteri yang lantik Ketua Pengarah tidak berikan sebarang komen.
“Kalau Perdana Menteri tidak boleh jalankan tugas ini, KKD wajar ambil alih J-KOM. Ini mungkin lebih menjimatkan dan membolehkan peranannya dijalankan secara efektif,” katanya.
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan perbualan didakwa Pengarah J-KOM, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff bersama penolong pegawai di jabatan itu, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. – KOSMO! ONLINE