fbpx

Misi perkasa tanah wakaf jadi keutamaan UDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lakaran artis bagi pembangunan Amaanee Residences, salah satu projek wakaf yang sedang diusahakan UDA.

SEBERANG PERAI – Peneraju pembangunan hartanah terkemuka tempatan yang juga pelopor pembangunan hartanah wakaf, UDA Holdings Berhad (UDA), komited memainkan peranan utama dalam memperkasakan hartanah wakaf di negeri ini.

Pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang bukan sahaja dilihat sebagai mekanisme untuk meningkatkan ekonomi setempat semata-mata, malah merancakkan pemilikan hartanah umat Islam negara ini.

Walau bagaimanapun, usaha mentransformasikan tanah wakaf bukannya satu tugas mudah, sebaliknya pelbagai cabaran perlu didepani bagi memastikan pembangunan yang direncanakan menjadi realiti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), UDA sentiasa mengambil langkah proaktif serta meneroka peluang baharu dalam bidang hartanah dengan membangunkan serta menguruskan hartanah wakaf di seluruh negara, termasuklah Pulau Pinang.

“Untuk makluman, UDA merupakan perintis pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang yang menjadi model pusat komersial dan kediaman pertama di atas tanah wakaf di negara ini.

“Kita juga bergandingan dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang berperanan sebagai pemegang amanah bagi tanah-tanah wakaf di negeri ini.

“Antara pembangunan tanah wakaf yang sudah dibina di sekitar Pulau Pinang setakat ini ialah Wakaf Seetee Aisah, Wakaf Mohamed Hashim dan Legasi Casarina (Tanah Baitulmal),” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Salah satu projek hartanah wakaf yang telah dibina oleh UDA ialah Wakaf Seetee Aisah yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang merangkumi projek komersial (lot kedai) dan kediaman.

Berbicara mengenai cabaran, beliau mengakui UDA berdepan dengan pelbagai kesukaran tatkala mahu memajukan tanah wakaf yang berpotensi dibangunkan secara komersial.

“Walau bagaimanapun, berkat usaha dan kerjasama erat antara MAINPP, pihak berkuasa dan UDA, segala halangan serta isu berbangkit dapat diselesaikan, malah projek pembinaan berjalan lancar mengikut perancangan.

“Selain itu, UDA turut berjaya menyumbang kepada peningkatan hartanah wakaf di Pulau Pinang melalui pelaksanaan projek pembangunan hartanah wakaf yang strategik dan komersial di kawasan-kawasan sesuai.

“Ini termasuk membangunkan pusat perniagaan, kompleks kediaman, dan kemudahan sosial untuk meningkatkan nilai hartanah wakaf di kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan terus membantu MAINPP dalam usaha untuk meningkatkan pemahaman masyarakat khususnya umat Islam akan kepentingan hartanah wakaf di negeri ini.

Katanya, pengelolaan wakaf yang efektif dan telus, diikuti pemilihan projek yang tepat, amat penting dalam memastikan manfaat ekonomi ummah setempat diwujudkan.

“Selain itu, pembabitan masyarakat setempat sebelum kami membuat keputusan berkaitan pelaksanaan projek wakaf turut akan meningkatkan kesedaran dan penerimaan terhadap konsep wakaf.

“Langkah yang kita ambil ini menjadi salah satu faktor yang memperkukuhkan ikatan sosial, sekali gus merangsang kepedulian antara masyarakat terutamanya pemilik unit wakaf dan pihak berkuasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI