fbpx

Kelayakan Piala Dunia: Malaysia berjaya benam Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain Harimau Malaya meraikan jaringan yang dilakukan oleh Darren Lok sebentar tadi.

PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya sekali lagi mempamerkan semangat juang tinggi selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Taiwan pada aksi kedua Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Perbandaran Taipei itu, skuad negara kendalian Kim Pan-gon membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan menggunakan khidmat Akhyar Rashid dan Paulo Josue di jentera serangan.

Kedua-dua pemain itu telah dibantu oleh wira negara ketika menewaskan Kyrgyzstan minggu lalu, Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi dalam usaha merobek benteng tuan rumah.

Namun, skuad negara dilihat agak kecewa apabila beberapa siri serangan yang dilakukan pada awal permainan serba tidak menjadi selain keadaan padang yang tidak rata di venue perlawanan.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-27 tetapi percubaan yang dilakukan oleh Akhyar melepasi palang gol.

Skuad negara semakin mengganas pada penghujung babak pertama dan kali ini giliran Stuart Wilkin melakukan rembatan di luar kotak penalti tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah.

Gol yang dicari Harimau Malaya sepatutnya tiba sebelum wisel ditiupkan tetapi nasib tidak menyebelahi apabila percubaan Faisal ketika situasi satu lawan satu sekadar singgah ke tiang gol.

Bersambung pada separuh masa kedua, Pan-gon membuat rombakan strategi dengan memasukkan pemain gantian, Darren Lok dan Endrick Dos Santos dalam usaha meraih kemenangan.

Keputusan tersebut ternyata berbaloi apabila Darren membalas kepercayaan yang diberikan dengan menjaring gol tunggal perlawanan pada minit ke-72.

Skuad tuan rumah kendalian Gary White berusaha untuk bangkit mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI