PETALING JAYA – Sebanyak 19 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman bom palsu di beberapa sekolah bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh laporan diterima di Selangor, Kuala Lumpur (5) ; Johor (3) ; Pulau Pinang (2); Negeri Sembilan (1) dan Perak (1).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman tersebut dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama ‘taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan emel beeble.com.
“Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai ancaman, PDRM dengan kerjasama sekolah-sekolah yang terlibat segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis-premis yang terlibat.
“Demi keselamatan, pemindahan (evacuation) pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan segera oleh pihak sekolah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lokasi-lokasi berkumpul (assembly points) seperti mana ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan beredar pulang.
“Tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) bom dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi yang terlibat. Namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, siasatan mendapati emel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa.
“Siasatan menunjukkan kedua-dua alamat emel yang digunakan bagi menghantar ancaman baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet.
“Kandungan asal emel ancaman adalah dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menggunakan aplikasi penterjemah,” jelasnya.
Menurut Razarudin, kandungan emel yang sama dikesan pernah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November lalu melalui penyedia perkhidmatan emel yang sama.
“Siasatan turut menjurus sama ada insiden di Malaysia mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah.
“Suspek dipercayai mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian, namun, mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya,” jelasnya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.