HANOI – Seorang tukang cuci di lapangan terbang Can Tho, selatan Vietnam menemui sebutir berlian bernilai 550 juta dong (RM105,977) yang dilaporkan hilang, lapor laman berita VNExpress semalam.
Wanita tersebut kemudian melaporkan penemuan itu kepada pihak berkuasa lapangan terbang sebelum membantu mengembalikan barangan berharga berkenaan kepada pemiliknya.
Selepas mendarat di lapangan terbang Can Tho pada 18 November lalu, seorang penumpang wanita melaporkan kehilangan berlian selebar 8.85 milimeter dan berharga 550 juta dong.
Pihak berkuasa lapangan terbang itu kemudian menghantar pasukan untuk mencari berlian tersebut tetapi tidak berjaya.
Keesokan harinya, ketika tukang cuci berkenaan, Vo Thi Thuy Dung, 36, sedang melakukan kerja-kerjanya, dia terlihat berlian itu tersangkut di satu sudut jejantas penumpang menuju ke pesawat.
Dia mengambilnya lalu segera melaporkan perkara itu kepada unit berkaitan sebelum berlian tersebut diserahkan semula kepada pemiliknya. – AGENSI