fbpx

Dua pemandu tahan sakit tersepit 45 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba cuba mengeluarkan pemandu berusia 49 tahun yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Merlimau - Lipat Kajang, di sini, pagi tadi.

JASIN – Dua pemandu terpaksa menahan sakit kira-kira 45 minit selepas tersepit di tempat duduk kenderaan masing-masing dalam kemalangan di Jalan Merlimau – Lipat Kajang, di sini, pagi tadi.

Pemandu lelaki yang masing-masing membawa Proton Wira dan Proton Iswara berusia 29 serta 49 tahun itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan sepasukan bomba dengan menggunakan pemotong hidraulik.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II, K. Kalaiselvem berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.21 pagi dan seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kedua-dua pemandu telah tersepit di tempat duduk dan kami menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong pintu kereta sebelum berjaya membawa keluar mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira.

“Selepas itu kami terpaksa menggunakan rantai yang ditarik jentera untuk mengalihkan Proton Wira bagi membolehkan kerja menyelamatkan mangsa kedua dapat dilakukan dari Proton Iswara,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 45 minit kemudian dan didapati mengalami kecederaan di bahagian kaki serta tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah sama Lipat Kajang menghala ke Muar, Johor.

“Setiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira tersebut tiba-tiba terbabas dan memasuki laluan kereta Proton Iswara yang ketika itu mahu ke Jasin.

“Akibat kemalangan itu kedua-dua pemandu telah tersepit dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga membahayakan pemandu lain. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI