LEVERKUSEN – Itali boleh menarik nafas lega apabila berjaya memastikan slot ke pusingan akhir Euro 2024 selepas meskipun mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Ukraine pada aksi kelayakan di BayArena awal pagi semalam.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi 14 mata selepas mengharungi lapan perlawanan, namun Itali lebih bernasib baik apabila mereka memiliki kelebihan dari segi jaringan gol.
Jurulatih Itali, Luciano Spalletti berkata, Ukraine memberikan cabaran sukar sepanjang perlawanan itu selain mengakui, barisan pemainnya banyak mensia-siakan peluang menjaringkan gol.
“Kami turun dengan sasaran untuk catat kemenangan. Itali bermula dengan sangat baik dan sepatutnya memanfaatkan beberapa peluang terhidang di separuh masa pertama, namun ia tidak dapat disudahkan.
“Apabila peluang yang ada tidak dimanfaatkan, perlawanan menjadi lebih sukar kerana pasukan lawan menampilkan aksi agresif dan fizikal. Kami terus menyerang tetapi Ukraine berikan kami banyak masalah,” katanya.
Walaupun gagal mendapatkan tiga mata, namun Spalletti tetap memuji dan berterima kasih kepada barisan pemainnya kerana berjaya membawa The Azzurri melangkah ke pusingan akhir Euro 2024 tahun depan.
“Saya menghargai semua pihak yang terlibat dalam pasukan sehingga berjaya memastikan Itali layak ke pusingan akhir Euro 2024. Sekarang kami perlu tingkatkan prestasi kerana keseronokan baru sahaja bermula,” ujarnya. – AGENSI