fbpx

Tambahan renjer komuniti banteras kes ceroboh hutan, ancaman hidupan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi ketika melawat pameran pada persidangan tersebut. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Peningkatan ancaman kepada hidupan liar dan pencerobohan hutan antara faktor utama keperluan penambahan renjer komuniti di negara ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, seramai 1,500 renjer itu sudah dilantik bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal termasuk di Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, sebahagian besar daripadanya melibatkan masyarakat Orang Asli selain veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Namun, jumlah renjer komuniti itu perlu ditambah lagi bagi menambah baik kawalan di kawasan hutan termasuk di Royal Belum, Perak.

“Ia berikutan tekanan atau ancaman terhadap hidupan liar dan hutan masih tinggi sekali gus perlu dibanteras secara menyeluruh,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keterhubungan Hutan dan Konservasi Biodiversiti di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam di sini, hari ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang pada tahun ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menjelaskan kementeriannya akan memfokuskan isu peralihan tenaga pada persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-28 (COP28) di Dubai, hujung bulan ini.

“Malaysia sebagai negara yang bersedia bagi peralihan tenaga di rantau ini akan mempamerkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR),” – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI