PETALING JAYA – Bapa saudara kepada Abdullah Amir Ruddin, 15, yang kehilangan ibu bapa serta empat adik-beradiknya dalam nahas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat pada 1 September lalu, menegur tetamu yang menziarahi remaja tersebut agar tidak menyuruhnya melakukan pelbagai perkara disifatkan tidak sesuai.
Mohd. Hairul Nor Muhammad, 54, memberi teguran secara umum menerusi hantaran pada aplikasi TikTok yang mana dikatakan ada tetamu meminta Abdullah melakukan tarian ‘chicken dance’ serta dimuat naik menerusi media sosial.
“Kalau paklong cakap jangan ambil hati ya. Datanglah ziarah, paklong alu-alukan cuma janganlah paksa Dollah buat itu, buat ini.
“Macam kurang sesuai. Berbuallah, maaf ya. Ini hasrat kami semua, tolong paklong ya,” katanya pada hantaran tersebut.
Teguran itu mendapat maklum balas daripada pengguna TikTok dan mereka turut meminta orang ramai supaya beradab sewaktu menziarahi remaja tersebut.
“Sedihnya lah, kenapa buat adik Dollah macam tu. Keluarga paklong kena pantau orang yang datang melawat. Orang ni tak sama paklong, tak ikhlas tu terlalu banyak,” kata alangtie.
“Betul apa yang paklong cakap. Tak payah minta maaf paklong, tegur je mana yang tak elok untuk Dollah,” komen hancock.
“Setuju, kasihan Dollah. Macam ‘puppet’ dah dia disuruh itu, ini semata-mata nak gelak. Kasihan dia, maaf andai tersalah kata. Cuma luahan untuk Dollah tersayang,” ujar itaeita.
Dalam kemalangan pada pukul 6.37 petang Jumaat 1 September lalu, pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, Noorahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia.
Abdullah cedera parah dalam kemalangan, manakala abangnya Abdur Rahman, 19, tiada di tempat kejadian. – KOSMO! OLINE