KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa negara-negara Islam di Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak untuk menerima rakyat Palestin.
Ia selepas terdapat cadangan untuk negara jiran seperti Jordan dan Mesir untuk mengambil pelarian Palestin yang tidak dipersetujui oleh semua negara OIC.
Malah kata Anwar, sekiranya tindakan itu diambil akan memberikan ruang kepada Israel untuk terus menceroboh dan menakluki Gaza.
“Yang dilakukan oleh UAE adalah mengambil rakyat Palestin yang sakit dan parah terutama bayi dan kanak-kanak untuk rawatan di Abu Dhabi dan Dubai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta kerajaan menyatakan hasil mesyuarat OIC di Arab Saudi mengenai jenayah dan pembasmian kaum (genocide) yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Putrajaya juga menyambut baik langkah Inisiatif Keamanan Arab untuk mengambil rakyat Palestin yang cedera teruk akibat pengeboman di Gaza. – KOSMO! ONLINE