GEORGE TOWN – Kes penipuan secara dalam talian melibatkan pelbagai jenis scam di Pulau Pinang dilaporkan meningkat 45 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun 2022.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,632 kertas siasatan melibatkan penipuan dalam talian dibuka pada tahun 2022, manakala sejumlah 2,363 kertas siasatan penipuan dalam talian dibuka pada tahun 2023 (sehingga 30 September 2023).
“Berdasarkan rekod daripada PDRM, terdapat peningkatan yang direkodkan sejak awal Januari hingga 30 September lalu ialah sebanyak 731 kes atau 45 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2022.
“Pihak polis mengambil beberapa langkah strategik antaranya meningkatkan penguatkuasaan undang-undang iaitu tangkapan dan pertuduhan di mahkamah serta kempen pencegahan jenayah komersial oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dari masa ke semasa,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE