KAHERAH – Seramai 28 bayi pramatang yang dipindahkan dari Hospital Al-Shifa di utara Gaza selamat tiba di Mesir dalam satu konvoi ambulans semalam, lapor saluran berita CNN.
Empat wanita yang merupakan antara ibu bayi-bayi tersebut dan enam jururawat turut menemani mereka yang ditempatkan di dua hospital berbeza untuk mendapatkan rawatan, demikian menurut seorang sumber kerajaan Mesir.
Kelmarin, seramai 31 bayi dipindahkan dari Hospital Al-Shifa ke Hospital Emirati di bandar selatan Semenanjung Gaza, Rafah dalam satu operasi yang dibantu oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan beberapa organisasi lain.
Seorang wartawan CNN yang berada di Lintasan Rafah melaporkan bahawa bayi-bayi itu disambut oleh kumpulan profesional perubatan yang menunggu dengan inkubator.
Dua daripada 31 bayi tersebut kekal di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Emirati, manakala seorang bayi dikatakan berada dalam keadaan sihat.
Bayi ketiga tidak dipindahkan ke Mesir kerana ibu bapanya kini berada di utara Gaza, manakala 28 yang lain akan dirawat di Hospital Al-Arish di Sinai dan Hospital New Capital di Kaherah.
“Kami telah menunggu mereka sejak beberapa hari lalu. Kami telah membuat semua persiapan untuk menerima bayi-bayi baru lahir dengan semua peralatan perubatan yang diperlukan.
“Bayi-bayi itu memerlukan lebih banyak lagi rawatan susulan,” kata seorang doktor di Hospital Al-Arish, Ahmad. – AGENSI