fbpx

JKDM sasar rampas 1 bilion batang rokok menjelang akhir tahun – Abdul Latif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Latif (empat kiri) menunjukkan rampasan rokok seludup bernilai RM2.3 juta pada sidang akhbar Kastam menumpaskan penyeludupan rokok di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bahagian Penguatkuasaan Dengkil, di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

DENGKIL – Sebanyak 785 juta batang rokok bernilai keseluruhan RM61.9 juta berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula Januari hingga kini 1 November lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, keseluruhan rampasan itu membabitkan nilai cukai yang cuba dielakkan sekitar RM539 juta.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan dapat merampas kira-kira 1 bilion batang rokok menjelang akhir tahun ini.

“Kami sudah menubuhkan satu pasukan khas dikenali Unit Siasatan Dalaman bagi mengetuai operasi mengesan sindiket penyeludupan rokok berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Latif berkata, pihaknya mendapati sindiket penyeludupan rokok tidak pernah sunyi malah tetap aktif biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP bermula Mac hingga Jun lalu, pihaknya berjaya merampas 21 juta batang rokok.

Menerusi rampasan terbaharu pada 18 November lalu, Abdul Latif berkata, pihaknya berjaya merampas 11.3 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM2.3 juta dengan cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM7.7 juta.

Menurutnya, empat individu berusia 32 hingga 42 tahun ditahan termasuk tiga warga tempatan dan seorang warga asing dalam tiga serbuan di Kepong, Batu Caves dan Jinjang.

“Kami turut merampas empat buah lori yang digunakan bagi memindahkan rokok daripada kontena,” katanya.

Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati, sindiket memindahkan rokok daripada kontena ke dalam lori yang dilakukan di kawasan sunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan sudah dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada 20 November lalu.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah, turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI