KAJANG – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff memberitahu beliau mendedahkan identiti ‘Mr. H’ yang dikaitkan dengan perbualan video tular baru-baru ini.
Muhammad Agus berkata, perkara itu dimaklumkan semasa beliau memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, di sini, petang tadi.
“Saya sudah berjumpa pegawai penyiasat dan memberikan keterangan. Saya juga telah mendedahkan siapa ‘Mr. H’ dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Soalan polis semuanya berkaitan siasatan mengenai video (tular) itu, saya dah menjawab apa yang ditanya.
“Mengenai video itu, bukan saya yang buat. Saya tidak mahu komen tentang hal itu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mohammad Agus memberi keteangan kepada pihak berkuasa selama hampir empat jam.
Beliau tiba di IPD Kajang pada pukul 2 petang dan selesai merakamkan keterangan pada pukul 5.30 petang.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir mendakwa dia diarah oleh pegawai atasan bergelar ‘Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Mohammad Agus.
Lelaki itu bagaimanapun memberitahu, kandungan perbualan dalam video tular yang mengandungi unsur lucah itu bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial.
Mengulas mengenai penolong pegawai di jabatannya, beliau memaklumkan tidak mengetahui perkembangan termasuk laporan polis yang dibuat Abdul Wahab.
“Itu saya tidak tahu. Saya tidak tahu mengenai laporan polis yang dibuat oleh Abdul Wahab,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE