fbpx

K2

Jangan sampai Harimau Malaya hanya tinggal lukisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramlee (kiri) bersama salah seorang pembeli hasil karyanya.

POPULASI Harimau Malaya di negara ini semakin berkurang akibat kegiatan penerokaan hutan untuk pembalakan dan perladangan.

Situasi ini memberi idea kepada seorang pelukis dari Kota Bharu Kelantan, Ramlee Hamzah untuk menghasilkan karya bermotifkan haiwan ikonik tersebut.

Menurut Ramlee, kerajaan telah mengambil langkah terbaik untuk melindungi spesies haiwan liar seperti harimau daripada terus lenyap dengan mewujudkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Sebenarnya tugas memelihara fauna ini bukan terletak di bahu Perhilitan sahaja. Walaupun telah diwujudkan pusat konservasi harimau di Pahang, namun tugas sebenar menjaga haiwan ini terletak pada diri kita sendiri.

“Sebagai seorang pelukis dan seniman, saya amat tersentuh melihat kerakusan manusia merosakkan hutan untuk mendapat keuntungan.

“Harimau juga terus diburu secara haram dan tanpa had, malah penebangan hutan melenyapkan sumber makanan harimau,” katanya ketika ditemui di Bukit Changgang, Banting, Selangor baru-baru ini.

Ramlee bergambar bersama poster pameran harimau kira-kira dua tahun lalu.

Ramlee yang juga Presiden Persatuan Pelukis Kelantan (Pelukis) berkata, kesedaran dalam kalangan masyarakat harus dipupuk untuk menyokong usaha kerajaan melindungi spesies tersebut.

Katanya lagi, bimbang dengan kepupusan haiwan itu, dia mengambil inisiatif menghasilkan lukisan bermotifkan harimau.

Jelasnya, ia bagi memastikan imej haiwan yang dikaitkan dengan keberanian itu terus menjadi tatapan generasi baharu.

“Harimau adalah sejenis haiwan pemangsa yang terkenal dengan ketangkasannya memburu. Saya suka mengabadikan ia dalam lukisan disebabkan keunikan corak belang dan pelbagai warna di tubuhnya.

“Sebagai pelukis, antara bahagian yang sukar diwarnakan adalah badannya. Ia memerlukan kesabaran kerana badannya berbulu dan mempunyai warna seperti hitam, putih, kuning serta merah,” jelasnya.

Salah satu karya lukisannya bertema harimau.

Ramlee yang terkenal sebagai pelukis potret pemimpin berkata, sebaiknya pihak berkuasa perlu mewujudkan galeri lukisan untuk haiwan hampir pupus seperti tapir, seladang, tuntung dan harimau.

Jelasnya, idea mewujudkan galeri bukan sahaja bermanfaat kepada pelukis, malah membantu meningkatkan rasa kasih kepada haiwan iaitu salah satu khazanah alam ciptaan Allah SWT.

“Saya tidak mahu satu hari nanti anak cucu kita tidak kenal mana satu harimau mana satu singa sehingga terpaksa merujuk dalam internet. Biarlah mereka dididik dengan pendekatan seni untuk mencintai flora dan fauna.

“Sebagai pelukis, sesuatu karya haiwan yang dihasilkan kadangkala dilihat sebagai sindiran kepada pihak tertentu. Sebenarnya, sindiran dalam karya hanyalah bertujuan mendidik ke arah kebaikan,” katanya.

Mengulas mengenai lukisan harimau yang dihasilkan selama ini, Ramlee berkata, lebih 10 keping karya haiwan tersebut telah dihasilkannya sejak aktif sebagai pelukis kira-kira sedekad lalu.

Ujarnya lagi, pelbagai medium digunakan untuk menghasilkan lukisan harimau seperti cat minyak, ‘soft pastel’, arang dan pensil.

“Pembeli lukisan pula adalah dalam kalangan pelbagai kaum, kebanyakannya adalah warga Malaysia yang cintakan alam semula jadi.

“Saya tidak menjual lukisan harimau dengan harga terlalu tinggi iaitu sekitar RM150 hingga RM2,500 (bergantung kepada saiz).

“Ini kerana, fokus saya adalah untuk memupuk semangat cintakan makhluk ciptaan Ilahi yang cantik walaupun sifatnya berbahaya,” katanya.

Ramlee memberitahu, lukisan harimau kini menjadi sumber rezekinya apabila ia semakin mendapat permintaan.

Menurutnya, biarpun ada sesetengah orang trauma apabila melihat harimau, namun ia merupakan maskot kepada pasukan bola sepak kebangsaan.

“Apa pun anggapan orang ramai, saya berazam untuk terus menyokong kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ yang diancam kepupusan.

“Saya berharap dapat mengadakan pameran harimau bersama mana-mana agensi kerajaan seperti yang dilakukan bersama Perhilitan Kelantan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah beberapa tahun lalu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI