SHAH ALAM – Hutang menjadi motif penculikan membabitkan seorang wartawan warga Bangladesh oleh sekumpulan suspek termasuk tiga anggota polis, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, perkara itu terbongkar selepas pihaknya menjalankan siasatan lanjut ke atas lapan suspek yang ditahan sebelum ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang mengesan empat lagi individu termasuk seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan dan pemerasan tersebut.
“Mereka yang dikesan ini dipercayai masih berada dalam negara. Setakat ini, motif adalah disebabkan masalah hutang mangsa dengan suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sasikala Devi bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci jumlah dan tujuan mangsa berhutang.
Kosmo! pada 13 November lalu melaporkan seramai enam individu termasuk tiga anggota polis diberkas kerana terlibat kes penculikan serta memeras ugut seorang warga asing.
Tangkapan itu dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan disiasat mengikut Seksyen 385 dan 342 Kanun Keseksaan,
Dalam perkembangan lain mengenai kehilangan 30 bahan letupan kuari, Sasikala Devi menjelaskan, pencarian masih dilakukan termasuk menyemak rakaman televisyen litar tertutup Sistem Lingkaran -Lebuh Raya Kajang (SILK).
“Setakat ini, kita belum mendapat petunjuk baharu tentang keberadaan bahan letupan itu yang dianggarkan bernilai RM500.
“Jadi kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Zulfadzly di talian 016-4123834,” katanya. – KOSMO!ONLINE