KUALA LUMPUR – Mudah Healthcare Sdn. Bhd. (Mudah Healthcare) telah membangunkan 10 kios Sihat Express yang bertujuan untuk membantu rakyat di negara ini memperoleh akses berhubung tahap kesihatan masing-masing dengan mudah.
Melalui inisiatif syarikat tersebut, kios digital yang dihubungkan dengan internet dan boleh menyimpan pangkalan data pesakit membolehkan penguna membuat pemeriksaan kesihatan asas secara sendiri mengikut arahan yang diberikan.
Pengarah Urusan syarikat, Datuk Dr. Kantha Rasalingam berkata, buat masa ini, projek sulung Kios Sihat Express ditempatkan di Menara UEM Edgenta bersempena pelancaran program Sihat Edgenta 2023 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, kios bernilai kira-kira RM50,000 seunit itu akan membolehkan pengguna membuat pemeriksaan suhu badan, tekanan darah dan juga kadar gula dalam badan yang mana segala keputusannya akan disimpan dalam sistem dan dihantar kepada pelanggan.
“Perkhidmatan secara percuma ini adalah usaha kami untuk membantu mengurangkan penyakit diabetes dan darah tinggi serta dapat mengenal pasti penyakit mereka pada peringkat awal,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program tersebut di sini baru-baru ini.
Kantha menjelaskan, kios tersebut turut menawarkan perkhidmatan teleperubatan yang mana pengguna boleh berinteraksi dengan doktor untuk mendapatkan nasihat tentang masalah kesihatan yang tidak serius dialami mereka.
Tambah beliau, syarikat juga bercadang untuk memperluaskan kios yang dicadangkan itu bakal diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada masa depan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri serta agensi kerajaan yang lain. -KOSMO! ONLINE