fbpx

Rekaan menarik rumah bot berbentuk kediaman sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa rekaan rumah bot dengan binaan mirip rumah daratan mencuri perhatian dunia. Gambar kiri menunjukkan rumah dikenali sebagai Blue Turtle yang dihuni pasangan di marina, Auckland, New Zealand dan gambar kanan rumah yang didiami oleh seorang lelaki di Hamburg, Jerman yang berlayar dari Hamburg ke Perancis.

BAGI sesetengah individu, ada satu perasaan tenteram yang muncul apabila memilih untuk beralih daripada kehidupan di darat dalam rumah banglo mewah kepada cara hidup lebih ‘ringkas’ di atas rumah bot.

Keadaan rumah yang terapung di kawasan terpencil, jauh daripada kesibukan kota berserta pemandangan alam semula jadi indah sememangnya mampu memberikan rasa tenang yang sukar digambarkan.

Tarikan itu mendorong pasangan kekasih dari Auckland, New Zealand iaitu Ryan dan Olivia untuk mengubah suai sebuah bot bertapak rata (barge) yang lazim digunakan untuk mengangkut kargo menjadi sebuah kediaman moden. Rumah dinamakan Blue Turtle itu ‘berlabuh’ di kawasan marina di Auckland bersama deretan bot-bot biasa lain.

Ujar Olivia yang merupakan seorang jururawat, dia mula mendapat idea untuk tinggal di dalam rumah bot sekembalinya daripada melawat dermaga nelayan di Victoria Island, Kanada yang dipenuhi dengan komuniti tinggal di atas air.

“Kami berdua amat suka berada di atas air. Bagi saya, rumah bot ini merupakan pilihan yang sesuai.

“Selain dapat melihat panorama laut, saya juga mempunyai ruang kediaman agak luas,” katanya yang sudah tinggal di situ sejak 2020.

 

RUMAH bot Blue Turtle berada bersama deretan bot-bot lain di kawasan marina di Auckland, New Zealand.

Olivia hanya perlu membayar sewa mingguan dengan amaun kecil kepada pengendali marina untuk ‘memarkir’ bot di situ sama seperti bot-bot lain.

Rumah yang dinamakan sebagai Blue Turtle itu memiliki panjang 12 meter serta dilengkapi dua bilik tidur, satu bilik air, dapur terbuka, ruang tamu dan tempat rehat di tingkat atas.

Biarpun sebuah rumah bot, namun kediaman tersebut mempunyai susun atur mirip rumah di daratan dengan pemandangan marina berdekatan bandar Auckland yang memukau.

Malah, bilik tidur pasangan itu dilengkapi pintu kaca dua panel dengan pemandangan dek bot dan laut biru yang cukup mempesonakan.

“Ya, itulah pemandangan kami setiap pagi. Di ruangan luarnya pula, anda boleh duduk berehat sambil menikmati secawan kopi atau mungkin terjun ke laut,” kata Ryan.

Tambah jejaka itu, dia cukup menghargai kehidupan di atas rumah bot.

OLIVIA dan Ryan.

Katanya, setiap kali melihat ke luar, dia akan terpaku dengan pemandangan laut di sekelilingnya.

“Setiap kali melihat ke luar, saya sentiasa ingat dan tahu bahawa saya sedang berada di atas laut.

“Pada masa sama, saya berada di dalam sebuah rumah yang selesa.

“Sungguh menyeronokkan kerana saya dapat menikmati kedua-duanya pada waktu sama,” katanya.

Rumah itu dibina dengan kejuruteraan bot dan boleh belayar di kawasan sekitar.

Seorang lelaki di United Kingdom, Max Murdo pula mencuri perhatian dengan rumahnya yang diubah suai daripada kontena besi (metal shipping container) dan kini terapung di sungai River Ouse, North Yorkshire.

RUMAH terapung milik Murdo telah disenaraikan oleh agensi berita, BBC sebagai salah satu daripada lapan rumah bot memiliki rekaan tercantik di dunia.

Ini membolehkan Murdo memiliki sebuah rumah tanpa perlu lagi memikirkan bayaran ansuran rumah dengan bank.

Dia sebelum ini tinggal di Bedford, namun menjual rumah itu dan tinggal di sungai dengan membina kediaman daripada kontena.

Baru-baru ini, rumahnya telah disenaraikan agensi berita, British Broadcasting Corporation (BBC) dalam lapan buah rumah bot miliki rekaan tercantik di dunia.

“Saya sentiasa mengimpikan tinggal di dalam sebuah rumah kecil di atas air,” katanya.

Selain Murdo, rumah bot seorang lelaki Argentina iaitu Anibal Guiser Gleyzer turut tersenarai oleh BBC.

Gleyzer tinggal di sebuah rumah bot sejak 30 tahun lalu.

Gleyzer memberitahu BBC bahawa kehidupan di kota sudah tidak lagi memberikannya kepuasan.

“Jadi, saya membeli sebuah bot dan mula meneroka delta sungai Paraná dan Uruguay. Kemudian, saya menjual pangsapuri saya lalu membeli tanah di kawasan delta ini,” ujarnya.

Biarpun tahu bahawa kawasan itu merupakan lokasi berisiko banjir, namun Gleyzer tetap membina rumah bot yang dipanggil sebagai Mini.

Mini disenaraikan BBC kerana reka bentuknya cukup ringkas dengan penggunaan bahan-bahan mesra alam.

Rekaan rumah dua tingkat itu juga lari daripada seni bina tipikal Eropah dan dindingnya dibuat dengan menggunakan kayu.

Dekorasi dalaman rumah Schulze.

Gleyzer menggunakan rekaannya sendiri yang diilhamkan daripada bot bertapak rata. Rumah bot itu mampu mengapungkan kayu di atas delta.

Sejak itu, dia telah mewujudkan satu komuniti penduduk rumah atas air yang berminat tinggal dekat dengan alam semula jadi. Ia dikenali Econáutico Hipocampo.

Pada 2018, nama Claudius Schulze, 38, pernah tular selepas lelaki kelahiran Hamburg, Jerman itu nekad menukar sebuah bot pelayaran menjadi studio atau ruangan untuk dia menyiapkan kerja.

Malah, studionya turut dilengkapi dapur dan ruang rehat.

Studionya pernah belayar beribu-ribu batu dari Hamburg ke Paris (Perancis) selepas jurugambar itu dijemput menghadiri sebuah acara fotografi berprestij di kota cinta itu.

Jelas Schulze, kerja-kerja pembinaan botnya bermula pada Mac 2016 dan ia berjaya disiapkan enam bulan kemudian.

Schulze juga mendedahkan dia menghabiskan £6,500 (RM37,766) untuk mengubah suai bot itu menjadi sebuah studio.

“Bot ini menggunakan kuasa fotovoltaik dan terdapat panel solar yang dipasang di bahagian bumbung bot.

“Air yang digunakan adalah air laut atau sungai ditapis, manakala tandas pula adalah jenis kompos kering,” katanya.

Biarpun nampak menarik, namun mendirikan studio di atas air dan tinggal di situ untuk jangka masa panjang adalah sesuatu yang cukup mencabar.

Memetik laman web, lakewizard.com, kos penyelenggaraan rumah bot adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Lazimnya, kos menyelenggara sebuah rumah bot boleh menjadi sangat tinggi disebabkan beberapa faktor.

Misalnya, memastikan tahap keapungan rumah bot berada dalam keadaan baik dan mengganti barang keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI