CYBERJAYA – Idea penyelesaian dua negara oleh Israel dan sekutunya adalah satu bentuk penipuan bagi menawan keseluruhan Palestin di mana ia turut dilihat sebagai kesinambungan rancangan penjajahan British sejak tahun 1930 lagi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata idea itu juga dilihat sebagai memberi peluang dan ruang kepada orang Yahudi untuk terus melebarkan kuasanya di Palestin.
Justeru, katanya, adalah amat penting bagi orang Islam membuat satu pendirian bagi mempertahankan Palestin kerana negara itu sendiri adalah tanah air umat Islam.
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa orang Yahudi tidak boleh menetap di Palestin, cumanya ia (Palestin) adalah milik orang Islam.
“Allah jadikan Palestin sebuah negara kelahiran nabi-nabi, malah bangsa Yahudi bukannya yang pertama menetap di situ sebaliknya bangsa rumpun Arab,” katanya pada siri Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Palestin: Apa perlu dilakukan? yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tadi.
Katanya, rancangan penyelesaian dua negara bersifat ‘gula-gula’ dan bukannya menyelesaikan masalah sebaliknya Palestin mesti dikembalikan kepada kuasa pemerintahan orang Islam.
Abdul Hadi berkata, Israel mahu Palestin menjadi milik mereka sahaja dan siri pengeboman yang berlaku juga bukan hanya menyasarkan umat Islam sebaliknya orang Kristian Palestin dan mereka turut menyerang gereja. – KOSMO! ONLINE