fbpx

Tuntutan 18 konsesi lebuh raya sedang diperhalusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tiga kiri) bersama Pengerusi WCE Holdings Berhad, Datuk Hamzah Hasan (dua kanan) merasmikan pembukaan Seksyen 6, WCE hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KUALA SELANGOR – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang memperhalusi tuntutan 18 syarikat yang menguruskan 33 konsesi lebuh raya supaya diberikan pampasan tunai dan bukan rebat cukai bagi sembilan hari yang diwartakan sebagai hari tol percuma setiap tahun.

Ini melibatkan dua hari bagi Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas manakala satu hari untuk Hari Kebangsaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perbincangan dan rundingan sememangnya sudah dibuat dengan pihak terlibat sebelum ini.

“Namun, ia melibatkan tuntutan dan kita masih sedang memperhalusinya secara lebih terperinci. Perkara itu perlu diperhalusi dengan pihak atasan dan agensi lain termasuk Kementerian Kewangan,” katanya selepas merasmikan pembukaan laluan Seksyen 6, persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini.

Mengulas mengenai WCE, Alexander menjelaskan laluan Seksyen 6 lebuh raya berkenaan dibuka secara rasmi kepada lebih 60,000 pengguna lebuh raya bermula pukul 12.01 tengah malam ini.

Ujarnya, pengguna turut diberi pengecualian tol bagi laluan sepanjang 21.8 kilometer (km) itu selama lebih sebulan sehingga pukul 11.59 malam, 2 Januari 2024.

“Bagi pengguna yang memasuki WCE dari Seksyen 5 iaitu dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Selatan ke Plaza Tol Assam Jawa atau arah sebaliknya, mereka akan dikenakan kadar tol sedia ada mengikut jenis kelas kenderaan masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, pembukaan laluan itu dijangka menjimatkan masa perjalanan dari Kapar, Klang ke Assam Jawa, Ijok kepada 15 minit berbanding 45 minit sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI