fbpx

KKR siasat, sedia laporan kes kerani maut langgar lubang jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan Seksyen 6 WCE, Kuala Selangor, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KUALA SELANGOR – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menjalankan siasatan dan laporan terperinci mengenai kemalangan tragis seorang kerani yang maut digilis treler selepas terlanggar lubang besar di Batu 5, Jalan Meru, Klang, kelmarin.

Ia turut melibatkan perbincangan dalaman berkaitan pampasan kepada keluarga mangsa selepas memperoleh laporan tersebut kelak.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menzahirkan simpati dan menyerahkan kepada pihak keluarga mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang kerana ia sememangnya hak rakyat untuk berbuat demikian.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan pihak kementerian setakat ini. Berkaitan pampasan kepada keluarga, perkara itu juga akan dibincangkan di peringkat dalaman dan kita perlu mengikut prosedur yang ada, ” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Seksyen 6 Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Plaza Tol Assam Jawa di sini, hari ini.

Muka depan Kosmo melaporkan kematian Allahyarham Syed Asnan Sayed Mokhtar, 37, kira-kira pukul 9 pagi itu mendorong ahli keluarga mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib.

Isteri mangsa, Suhaini Abu Bakar, 41, menegaskan, tindakan undang-undang itu dianggap wajar memandangkan insiden yang menimpa suaminya menyebabkan dia telah kehilangan tempat bergantung, manakala empat anak mereka pula bergelar yatim dalam sekelip mata.

Mengulas lanjut, kata Alexander, beliau tidak mengetahui dakwaan jalan berkenaan mengalami kerosakan sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak tahu perkara itu rosak dan kita tunggu siasatan dilakukan. Jalan yang rosak akan diturap selepas menerima sistem aduan MyJalan. Setakat ini, kira-kira 4,000 aduan telah diterima berkaitan masalah jalan di seluruh negara. Faktor Monsun Timur Laut juga mungkin antara faktor jalan menjadi rosak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI