PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan Anzalna Nasir mencuri perhatian ramai apabila memborong ratusan bungkus nasi lemak yang dijual seorang warga orang kelainan upaya (OKU) semalam.
Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md. Nasir, 32, melalui Instagram memuat naik status rasa prihatin terhadap kegigihan lelaki itu mencari rezeki walaupun berstatus OKU.
“Tolong kira sekejap berapa nasi lemak atas meja tersebut. Saya mahu beli semua sebab mahu tolong abang ini.
“Respek! Walaupun OKU tetapi masih rajin mencari rezeki. Bantu saya untuk sebarkan mesej ini kepada dia dan tolong bagi nombor dia kalau ada yang kenal. Terima kasih,” tulis isteri kepada usahawan, Hanif Zaki itu.
Tidak lama selepas berkongsi hantaran tersebut, pelakon yang cukup dikenali dengan drama Memori Cinta Suraya itu menerima maklum balas daripada seorang pengguna Instagram memberikan perincian tentang perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan individu OKU itu.
“Rakyat Malaysia sangat prihatin. Kepada yang ingin sokong Dek Mat Nasi Lemak. Terima kasih @chesuziana kerana berkongsi,” tulisnya melalui Instastory.
Seorang pengguna Instagram dengan nama Chesuziana berkongsi maklumat bahawa lelaki OKU itu menjalankan perniagaan Nasi Lemak Bujang Dek Mat di Amber Business Plaza, Cheras, Kuala Lumpur berdekatan kedai serbaneka 7-Eleven LRT Cheras.
Menurutnya lagi, peniaga itu bernama Muhammad Nor, berusia 28 tahun dan seorang OKU yang dilahirkan tanpa tangan. Dia hidup sendiri dengan menyewa bilik di tingkat atas sebuah rumah kedai berdekatan LRT Cheras.
Muhammad Nor menempah nasi lemak daripada seorang rakan di Bukit Jalil dengan harga RM1 sebelum menjualnya semula pada harga RM1.50 sebungkus.
Untuk membuat tempahan nasi lemak daripada Muhammad Nor, boleh menghubungi talian 017-2650799 atau melalui Facebook Dekk’s Mat. – K! ONLINE