PASIR PUTEH – Hujan berterusan dikesan menjadi punca reptilia berbisa seperti ular tedung selar mencari habitat dan tempat berlindung dengan menyelinap masuk ke rumah penduduk di daerah ini.
Sepanjang minggu lalu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasir Puteh telah menangkap tiga ekor ular tedung selar yang telah memasuki rumah penduduk.
Pegawai APM daerah, Kapten Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, anggotanya menangkap seekor ular tedung yang bersembunyi di dalam rak kasut di sebuah rumah Kampung Chengal Pulas di sini pada 19 November lalu.
Katanya, terbaharu, dua ekor reptilia berbisa dari spesies Elapidae itu ditangkap di dalam rumah di Kampung Wakaf Lanas dan Kampung Bukit Merbau di sini Ahad lalu.
“Kesemua ular yang ditangkap dianggarkan berukuran panjang 3.5 meter dengan berat tujuh hingga 10 kilogram. Kita menyimpan ketiga-tiga reptilia itu di dalam sangkar khas dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam tempoh terdekat.
“Ular berkenaan mula mencari tempat berlindung termasuk rumah penduduk apabila habitat asalnya ditenggelami air sepanjang peralihan cuaca Monson Timur Laut atau musim bah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat APM Daerah di sini hari ini.
Menurut Nik Mohd. Nor, kawasan semak yang banyak ditenggelami air menyebabkan reptilia itu mencari rumah penduduk sekali gus berupaya mengancam keselamatan mereka.
Katanya, APM Pasir Puteh mempunyai seramai 27 anggota yang berkemahiran dan memiliki Sijil Pengendalian Ular Berbisa selepas mengikuti latihan Perhilitan dan Taman Ular Malaysia sedia membantu dalam memastikan tiada kes maut disebabkan patukan ular di dalam rumah penduduk.
“Saya nasihatkan penduduk agar tidak mengambil risiko dengan mengambil tindakan sendiri dengan menangkap atau cuba membunuh reptilia itu.
“Sejak awal tahun ini, kita telah menangkap 16 tedung di kawasan rumah penduduk selepas menerima laporan daripada mereka,” katanya.
Katanya, sehingga kini, APM Pasir Puteh telah menangkap sebanyak 663 ekor ular termasuk sawa yang menceroboh reban ternakan dan ular senduk di dalam rumah penduduk. -K! ONLINE