GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam proses membawa pulang pecahan 41 rangka manusia Guar Kepah iaitu aset warisan prasejarah zaman Neolitik yang tersimpan di Collection Center Netherlands (CCNL), Belanda.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lawatan ke CCNL telah diadakan pada 22 sehingga 24 Mac lalu dan menerusi lawatan itu, kerajaan Belanda telah menyerahkan surat persetujuan berkenaan kepentingan peninggalan Guar Kepah tersebut untuk dipulangkan kepada pihak Malaysia.
Menurutnya, Kerajaan Belanda juga telah menyatakan kesediaan bagi memenuhi permohonan tersebut kepada Duta Besar Malaysia di Belanda.
“Sebahagian rangka tersebut telah berada di luar negara sejak 150 tahun dahulu. Kerajaan negeri dalam proses membawa pulang pecahan 41 rangka manusia Guar Kepah iaitu aset warisan prasejarah zaman Neolitik yang kini tersimpan di CCNL dan ia bagi menentukan keberadaan serta menjalankan kerja-kerja analisis ke atas rangka tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan A.Kumaresan (PKR-Batu Uban) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beritahu Kon Yeow, kerajaan Belanda akan turut membiayai analisis pentarikhan untuk 41 rangka tersebut di Centre of Isotopic Research (CIO), Universiti Groningen dengan anggaran penjimatan kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan sebanyak USD246,000 (RM1.17 juta).
“Data saintifik yang diperoleh ini akan menjadi data penting bagi rangka tersebut untuk dipamerkan di galeri kelak,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Belanda menunjukkan kerjasama yang baik berasaskan komitmen untuk terus menyimpan serta memelihara aset warisan kerajaan negeri dan secara tidak langsung Malaysia, sehingga ia dipulangkan pada suku pertama tahun 2024 ke negara ini.
“Hubungan ini sekali gus menjadi faktor utama kepada pelaburan masa depan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pelancongan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE