PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), memuji tindakan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing susulan permohonan maaf secara terbuka yang dibuatnya kepada semua petugas barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs memahami tindakan beliau (King Sing) adalah atas dasar mahu memastikan keselamatan serta kesejahteraan petugas barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua agensi kerajaan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
“Sikap keprihatinan beliau sememangnya perlu dipuji walaupun tindakan tersebut sepatutnya perlu mengikut saluran yang betul.
“Walaupun telah melakukan kesilapan, beliau tidak malu untuk membuat permohonan maaf.” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Adnan yang turut berpeluang mengadakan satu pertemuan bersama King Sing memaklumkan, beliau turut berkongsikan beberapa perkara dan aduan yang diterima pihaknya daripada petugas barisan hadapan KKM.
“Cuepacs menerima laporan berhubung kesukaran mendapatkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka dan cecair sanitasi susulan bekalan yang diterima di setiap lapangan serta fasiliti kesihatan begitu terhad.
“Petugas KKM ini terpaksa membeli dan menyediakan sendiri PPE bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini. Janganlah kita hantar mereka ini ke medan perang dengan ketiadaan kelengkapan yang cukup untuk menentang musuh,” katanya.
Jelas beliau, Cuepacs turut memberikan perhatian kepada aduan mengenai petugas KKM yang dikerah bekerja melebihi 12 jam setiap hari dengan shif yang tidak menentu dan berharap ada penyelesaian dapat dilakukan oleh KKM dan kerajaan terutama di tempat yang kritikal seperti Sabah, Lembah Klang serta beberapa negeri lain.
Menurut Adnan, pihaknya berpandangan, pemberian elaun ‘one-off’ sebanyak RM500 untuk 100,000 petugas barisan hadapan KKM seperti yang dimaklumkan dalam Belanjawan 2021 perlu diperluaskan kepada lebih ramai petugas di KKM.
“Jumlah 100,000 itu tidak memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua petugas barisan hadapan KKM apatah lagi dengan situasi kes Covid-19 yang meningkat begitu drastik ketika ini.
“Begitu juga dengan elaun khas Covid-19 yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada Mac lalu, kerenah birokrasi dalam pemberian elaun tersebut masih lagi membingungkan petugas hadapan KKM hingga ada yang berputus asa untuk menuntut elaun tersebut,” tegas beliau.
Difahamkan, Andan turut berkongsikan beberapa lagi aduan yang diterima pihaknya kepada King Sing seperti penambahan Gantian Cuti Rehat daripada 150 hari menjadi 200 hari kepada staf KKM memandangkan baki cuti masih banyak dan tidak dapat dilunaskan kerana perkhidmatan.
“Ada juga yang memohon agar diberi kelonggaran untuk mengikuti kelas online untuk staf yang melanjutkan pengajian semasa waktu bekerja memandangkan cuti dibekukan dan isu ketiadaan taska atau tadika khas untuk anak-anak petugas barisan hadapan.
“Kami juga dimaklumkan bahawa Laporan pegawai tanggungjawab (PTJ) kepada Ketua Pengarah Kesihatan tidak meliputi keseluruhan apa yang berlaku di lapangan mengakibatkan pihak atasan tidak mengetahui gambaran sebenar keadaan petugas di lapangan dan isu kelewatan membayar tuntutan elaun kerja lebih masa,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Adnan berkata pihaknya berharap agar King Sing dan pihak kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi atau menyelesaikan aduan yang telah diterima daripada petugas barisan hadapan KKM di lapangan.
“Jika perkara ini tidak diberi perhatian sewajarnya, Cuepacs bimbang motivasi kerja petugas barisan hadapan ini akan luntur.
“Apatah lagi mereka mempertaruhkan nyawa sendiri dan ahli keluarga dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin,’ ujarnya. -K! ONLINE