PETALING JAYA – Sebuah tandas sekolah yang berkonsepkan ‘open air’ ala-ala tandas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berjaya menarik minat warganet sehingga menerima ribuan tanda suka di laman Facebook.
Menurut guru yang memuat naik hantaran tersebut, Shahrizal Sha’ari, reka bentuk sedemikian dapat memastikan pelajar dapat menggunakan tandas dengan selesa di samping mengurangkan sebarang bau yang tidak enak.
“Asyik hias bilik sahaja, mana tandas pelajar? Inilah salah satu projek tandas kami. Ada lagi tandas-tandas lain yang masih dalam proses untuk disiapkan.
“Kalau sebelum ini, tandas sendu atau macam reban ayam, sekarang lihatlah hasilnya. Pelajar tidak perlu rasa jijik ketika menggunakan tandas tersebut,” katanya.
Tambah guru tersebut, selain konsep ‘open air’, tandas lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai Besar itu juga dicat warna biru, putih dan coklat supaya ia tampak lebih luas.
“Tidak perlu dekorasi keterlaluan. Tidak perlu tampal kata-kata hikmah atau peraturan sebab murid tidak akan baca.
“Apa yang penting, tandas yang siap itu selesa dan boleh digunakan dengan tenang oleh pelajar-pelajar di sekolah ini,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata ibu bapa menyambut baik inisiatif tersebut yang dilihat dapat mengurangkan gejala negatif lain seperti vandalisme, ponteng kelas dan sebagainya.
“Sokong sangat tandas konsep begini. Lepas ini, tidak ada lagi ahli mesyuarat tandas. Pengawas sekolah pun tidak perlu pening kepala jaga disiplin pelajar,” kata Maryam.
“Senang guru nak pantau pelajar yang suka sangat pergi tandas. Hendak buat kerja-kerja pembersihan pun mudah,” kata Razimah.
“Tandas pun cepat kering kalau terbuka macam ini,” kata Ejat.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 1,100 tanda suka dan 668 kongsi semula. – KOSMO! ONLINE