fbpx

Anak nekad kemas rumah bersepah ketika ibu bapa pergi umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar keadaan rumah ibu bapa @aainaa.nordin yang bersepah sebelum dikemas.

PETALING JAYA – Rimas dengan keadaan rumah yang bersepah, satu keluarga nekad mengadakan gotong-royong untuk mengemas dan deko semula rumah ibu bapa mereka.

Menurut sebuah hantaran yang dimuat naik @aainaa.nordin di laman TikTok, projek mengemas tersebut dijalankan ketika ibu dan bapa mereka menjalankan ibadah umrah.

“Mak ayah tidak ada, kami sekeluarga ambil masa ini untuk kemas dan deko rumah mak.

“Kami buang barang-barang yang tidak bernilai, susun semula dan cat rumah,” katanya.

Dalam video lain yang dimuat naik sebelum ini, Aainaa menjelaskan ibu bapanya mempunyai ‘hoarding disorder’ yang menyebabkan rumah yang didiami menimbun dengan barang-barang yang tidak diperlukan.

“Mak ayah siapa yang macam ini? Jangan cakap tak kemas ya. Kalau kemas mesti kena marah,” katanya dalam ruangan kapsyen.

Meninjau ke ruangan komen, ramai pengguna mengakui mempunyai ibu bapa dengan perangai yang sama dan enggan membuang apa-apa barang atas alasan terlalu sayang.

“Aku pernah sewa tong roro untuk kemas rumah mak. Mak aku sampai merajuk dan menangis-nangis, sampaikan dia cakap, lepas ini tak ada cawan lagi untuk minum,” kata Jieha.

“Saya pun pernah buat macam ini dekat rumah mak selepas dia meninggal. Lepas tu mak telefon kawan-kawan di kampung, cakap anak-anak hendak halau dia dari rumah,” kata spanishlatte.

“Harap mak dengan ayah awak tak demamlah balik umrah nanti,” kata seorang pengguna lain.

‘Hoarding disorder’ merupakan satu penyakit mental yang membuatkan penghidapnya sukar untuk berpisah dengan barang-barang yang dimiliki.

Pada masa yang sama, mereka juga akan rasa tertekan sekiranya diminta untuk membuang barang-barang tersebut walaupun ia tidak bernilai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI