SKUAD Harimau Malaya enggan lagi dibolosi gol menjelang aksi kedua Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei esok.
Penjaga gol utama pasukan kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi meletakkan harapan tinggi agar benteng pertahanan kekal ampuh dalam usaha memburu kemenangan kedua berturut-turut pada aksi kelayakan kali ini.
Pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, sasaran pasukan adalah jelas dengan mengutip tiga mata berharga menentang skuad Taiwan yang berada di ranking ke-152 ketika ini.
“Semuanya berjalan seperti yang dirancang dan tak boleh ambil mudah kerana setiap pemain perlu fokus 100 peratus untuk pastikan dapat tiga mata.
“Sebagai pemain kita tak boleh lari (daripada kesilapan) tetapi perkara paling penting adalah buat kerja kita dan apa yang kurang perlulah diperbaiki.
“Setiap penjaga gol sudah pastinya enggan dibolosi. Namun, perkara sudah terjadi dan tak boleh nak ubah sekali gus perlu melihat pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Sebagai rekod, benteng skuad negara kendalian Kim Pan-gon dilihat mudah ‘bocor’ apabila dibolosi tiga gol sewaktu melakar kemenangan 4-3 ke atas Kyrgyzstan pada aksi pembukaan, Khamis lepas.
Sementara itu, sasaran yang sama turut diletakkan oleh pemain pertahanan, La’vere Corbin-Ong yang mahu momentum cemerlang pasukan kebangsaan diteruskan apabila bertandang di tempat lawan nanti.
“Skuad Harimau Malaya mempunyai kualiti dengan barisan pemain memberikan komitmen tinggi dalam pasukan untuk memenangi perlawanan menentang Taiwan.
“Namun, pastinya jika tidak dapat membawa pulang tiga mata bakal menyebabkan pasukan kecewa atau sedih,” katanya.