SETIU – Seorang penternak jatuh terduduk apabila 16 ekor lembu peliharaan didapati mati bergelimpangan disyaki akibat diracun menyebabkan kerugian RM40,000 di Kampung Kenangan di sini semalam.
Mohamad Saad, 62, mendakwa, insiden lembunya mati diracun itu merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh dua tahun.
“Terkejut saya apabila dimaklumkan lembu-lembu peliharaan ditemui mati bergelimpangan di kawasan sebuah kebun pada pukul 5 petang semalam oleh salah seorang penduduk kampung.
“Anak lelaki saya, Naqiuddin, 32, bergegas ke lokasi kejadian dan mengesahkan 16 ekor lembu ternakan kami telah diracun,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di Kampung Kenangan di sini hari ini.
Mohamad mendakwa dia mengesyaki kematian lembu-lembunya akibat diracun berikutan penemuan tiga tong mengandungi air berisi racun tidak jauh dari lokasi haiwan ternakan itu ditemui.
Dakwanya, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak bertanggungjawab namun amat kecewa dengan perbuatan tersebut.
“Saya telah membuat laporan polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhubung kematian lembu-lembu saya ini.
“Apa pun saya serahkan kepada pihak berkuasa. Walaupun sedih, saya reda dan anggap ini ujian kepada kami sekeluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE