fbpx

Konflik Palestin-Israel: Hospital Al-Shifa jadi markas tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang awam Palestin melarikan diri dengan mengangkat tangan semasa berjalan menuju ke selatan Gaza semalam. - AFP

BANDAR GAZA – Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaila memaklumkan bahawa Hospital Al-Shifa di Semenanjung Gaza kini menjadi markas tentera Israel, lapor agensi berita Anadolu hari ini.

“Tentera Israel sedang membuat kekacauan di kompleks Al-Shifa. Hospital ini kini menjadi berek tentera Israel. Penduduk yang berlindung di dalam bangunan diarah berpindah sambil diacu pistol,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat kementerian tersebut di Ramallah, Tebing Barat.

Dalam pada itu, Mai meminta bantuan masyarakat antarabangsa untuk terus memberi tekanan kepada Israel supaya ia membenarkan pemindahan bayi-bayi pramatang dari hospital itu ke Tebing Barat atau Mesir.

Menurutnya, seramai 126 pesakit, 34 bayi pramatang dan beberapa kakitangan dilaporkan masih kekal di hospital selepas beribu-ribu orang awam diarah oleh tentera Israel untuk mengosongkan bangunan. 

“Tiada hospital di Semenanjung Gaza yang mempunyai kapasiti untuk menampung bayi-bayi pramatang ini,” jelas Mai.

Tambahnya, pihak berkuasa Israel telah memindahkan sejumlah jenazah rakyat Palestin dari Hospital Al-Shifa ke lokasi yang tidak diketahui.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Medhat Abbas berkata, Zionis mengarahkan kemudahan itu dikosongkan dan memberi masa satu jam untuk pihak hospital mengeluarkan orang ramai semalam.

“Saya berada di dalam Hospital Al-Shifa dan kami dipaksa berpindah oleh Israel,” kata salah seorang kakitangan hospital, Dr. Ramez Radwan.

“Kami diarahkan berpindah sambil diacukan senjata. Kereta kebal dan penembak tepat berada di dalam dan luar bangunan,” kata seorang penduduk, Mahmoud Abu Auf menerusi satu panggilan telefon selepas keluarganya meninggalkan hospital itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI