MELIHAT orang lain petah bertutur dalam bahasa Arab membuatkan Maisarah Ahmad Azmi, 21, berasa kagum.
Terdetik di hatinya juga untuk mendalami bahasa tersebut ketika di bangku persekolahan.
Kini, dia bukan sahaja boleh bercakap dalam bahasa tersebut tetapi turut terlibat dalam arena pertandingan debat bahasa Arab.
Maisarah yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga telah mewakili universitinya dalam pertandingan debat di peringkat antarabangsa.
“Saya sebelum ini terlibat dalam debat bahasa Arab ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Rahah, Sungai Besar, Selangor.
“Ustazah Thurraya Kodri yang banyak membimbing saya dalam arena debat ketika di sekolah dahulu,” katanya kepada K2.
Tambahnya, pada ketika itu, dia belum begitu mahir dalam debat bahasa Arab dan kebiasaannya akan membaca teks sahaja.
Namun, setelah menyambung pengajian di USIM, dia semakin aktif dengan debat bahasa Arab dan kemahirannya semakin diperkukuh.
Di bawah bimbingan Ustaz Norsyafwan Norawavi, dia dapat belajar dengan lebih banyak untuk menjadi pendebat yang baik.
Malah, Maisarah kini boleh dikatakan jaguh debat bahasa Arab kerana telah menyertai beberapa pertandingan itu di dalam dan luar negara.
Antara pertandingan debat yang disertainya termasuk Qatar Debate: The 6th International Universities Arabic Debating Championship di
Istanbul, Turkiye; 2nd Asian Arabic Debating Championship di Muscat, Oman, Pertandingan Debat di Jogjakarta, Indonesia dan lain-lain lagi.
Lebih hebat, dia serta pasukannya bahkan berjaya merangkul gelaran johan dalam pertandingan di Muscat dan Jogjakarta itu, manakala di Istanbul berjaya meraih naib johan.
Mengulas lanjut, Maisarah menjelaskan, berdebat dalam bahasa Arab mempunyai cabarannya yang tersendiri.
“Ini kerana, perkataan yang digunakan sewaktu berdebat bukanlah perkataan yang sering kita gunakan dalam perbualan harian.
“Bagi pertandingan debat, kita perlu mengetahui isu-isu semasa serta perkataan-perkataan istilah Arab dari sudut ekonomi, kesihatan dan lain-lain.
“Inilah yang menjadi cabaran buat saya dan untuk itu, saya perlu pastikan saya menguasai perkataan-perkataan ini,” terangnya.
Dalam masa yang sama, Maisarah menjelaskan, dia memilih untuk berdebat dalam bahasa Arab adalah untuk mencabar dirinya sendiri.
Ini kerana, di Malaysia kita sudah biasa melibat debat dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.
Bahasa-bahasa ini sering digunakan di negara kita, oleh itu Maisarah ingin mencuba sesuatu yang baharu dengan menyertai debat bahasa Arab.
Sementara itu, bagi membolehkan dirinya berdebat dengan baik, apa yang penting Maisarah perlu pastikan dirinya perlu sentiasa berkomunikasi dalam ‘bahasa syurga’ itu.
“Selain daripada banyak berkomunikasi, saya juga akan selalu menonton video-video debat dan membaca berita-berita Arab.
“Ini penting bagi membolehkan saya menguasai perkataan-perkataan tertentu yang boleh digunakan sewaktu berdebat,” jelasnya yang merupakan anak bongsu dalam keluarga.
Berbicara tentang pendidikan pula, Maisarah menjelaskan, dia memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang dan syariah adalah bertujuan membantu wanita di luar sana yang teraniaya dalam perkahwinan.
“Mungkin ada wanita-wanita di luar sana yang tidak berkemampuan untuk memperjuangkan hak mereka.
“Oleh itu, saya berharap setelah tamat pengajian kelak dan menjadi peguam syarie saya boleh berbakti kepada kaum wanita terutamanya,” ulasnya.
Maisarah juga mengakui, dia sering sibuk untuk membahagikan masa antara pengajian dan latihan untuk debat.
Namun, buat masa ini, dia mampu untuk mengimbangi kedua-duanya.
“Saya rasa apabila kita sentiasa sibuk, kita akan tahu bagaimana untuk aturkan masa,” tuturnya.