fbpx

Mohammad Agus, Wahab dipanggil Bukit Aman dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Agus (kanan) bersama Abdul Wahab. Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO

PETALING JAYA – Bekas bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir akan dipanggil semula bagi memberi keterangan berhubung video tular berbaur lucah.

Tindakan dan siasatan berhubung kes itu kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum ini, kes tersebut disiasat oleh Polis Selangor.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya akan meminta kedua-dua individu terbabit datang ke Bukit Aman bagi proses merakam percakapan mereka.

“Proses rakaman keterangan kedua-dua individu itu akan dilakukan dalam masa terdekat. Untuk ketetapan tarikh serta di mana (lokasi) proses itu akan dijalankan, kita sedang berbincang.

“Setakat ini, pihak JSJ tiada mempunyai apa-apa perkembangan terkini mengenai isu ini,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Semalam Kosmo! Online melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menyiasat dan mengenal pasti individu bergelar ‘Mr. H’ yang dikaitkan dengan video terbabit.

Siasatan untuk mengenal pasti individu bernama ‘Mr. H’ sedang berjalan dan kes diserahkan kepada JSJ Bukit Aman.

“Siasatan kes ini diambil alih sepenuhnya oleh USJT Bukit Aman dan akan dikemas kini sekiranya terdapat maklumat baharu,” tambahnya.

Sebelum ini tular satu video memaparkan perbualan jelik menerusi panggilan video antara Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab di media sosial.

Abdul Wahab, 33, mendakwa beliau telah diarahkan untuk merakam panggilan video itu bagi memerangkap Muhammad Agus sebelum diserahkan kepada ‘Mr. H’ dengan versi yang dikatakan tidak memiliki suara.

Namun, menerusi video berdurasi kurang seminit itu, kelakuan Muhammad Agus mengundang tanda tanya apabila percakapan itu dilihat tidak formal dengan ‘pegawai bawahan’ meskipun video itu didakwa telah disunting menggunakan teknik ‘voice over’.

Menjawab percanggahan dalam kenyataannya, Abdul Wahab berkata, meskipun Muhammad Agus membuat panggilan terlebih dahulu, namun rakaman tersebut dipotong dan disunting. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI